Ahad, 12 Oktober 2014

Impian Bajet 2015...



Oleh Alyaa Alhadjri


Mengaku sajalah. Kita rakyat Malaysia suka meminta-minta. Setiap tahun pada masa sebegini, apabila belanjawan negara bakal dibentangkan, pelbagai perkara ada di dalam senarai impian kita. Harapan kita agar kerajaan turut mengambil kira senarai ini bagi perbelanjaan tahun hadapan.

Di sini kami sertakan 10 perkara yang diharapkan bagi tahun hadapan, selain membuat jangkaan tentang apa yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.

1) Apa golongan muda mahu: Terdapat berjuta perkara yang diimpikan golongan muda tetapi yang utama sudah semestinya “rumah mampu milik” di lokasi strategik di negara ini.

Apa yang mungkin dibentangkan: Mustahil segala tuntutan dapat dipenuhi. The Star melaporkan rakyat yang membeli rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mampu menjimatkan wang melalui skim tersebut dengan kerajaan memberi subsidi bagi sebahagian daripada faedah pinjaman perumahan.

2) Apa pengguna pengangkutan awam mahu: Sampai ke destinasi yang dituju tepat pada masanya. Ini memerlukan akses bagi mendapatkan perkhidmatan serta rangkaian pengangkutan awam yang baik. Tanpa rangkaian yang baik (serta jadual yang ditepati), kenderaan persendirian akan tetap menjadi pilihan.

Apa yang mungkin dibentangkan: Tumpuan kerajaan akan tetap ke arah meningkatkan fasiliti yang ada sekarang dan The Star memetik seorang penganalisa yang berkata lebih banyak dana diperuntukkan bagi menambahbaik infrastruktur dan rangkaian rel atau keretapi di Malaysia. Laporan itu turut menyebut tentang kerja-kerja yang sedang dijalankan di Kuala Lumpur serta rancangan jalinan tren komuter dari Singapura ke Johor Baru.

3) Apa cikgu mahu: Kurang rungutan daripada ibubapa serta dasar yang berubah-ubah. Mereka mahu lebih masa mengajar murid-murid dan dana bagi menambahbaik fasiliti di sekolah. Latihan juga diperlukan bagi guru-guru meningkatkan prestasi.

Apa yang mungkin dibentangkan: Sektor pendidikan telah diberi peruntukan besar di dalam belanjawan negara tahun lalu tetapi portal berita The Malaysian Insider memetik setiausaha agung Kesatuan Profesyen Perguruan Nasional (NUTP) Loke Yim Pheng memohon kerajaan menumpukan terhadap akses internet di sekolah di seluruh Malaysia.

4) Apa ibu bekerjaya mahu: Tinggal di rumah dan menjaga anak-anak. Tetapi bagi yang bekerja, mereka mahu lebih insentif diperuntukkan bagi pembukaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Apa yang mungkin dibentangkan: Kesinambungan daripada dasar sedia ada yang memberi syarikat, geran sebanyak RM10,000 bagi membuka pusat jagaan kanak-kanak serta perlepasan cukai sebanyak 10%.

5) Apa golongan majikan mahu: Pengurangan kos operasi. Kos yang ditanggung mungkin akan mendapat kesan daripada dasar yang dilaksanakan tahun hadapan termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6%.

Apa yang mungkin dibentangkan:  Portal The Malaysian Insider melaporkan kerajaan berjanji akan mengurangkan cukai hasil pendapatan peribadi sebanyak satu ke tiga peratus bagi semua pembayar cukai dengan kadar maksima pada paras 26% bakal dikurangkan kepada 24% bermula 2015.

6) Apa golongan pekerja mahu: Kadar gaji minima disemak semula, lebih banyak pendapatan yang boleh dibelanjakan dan kerja yang terjamin bagi mengelakkan kesan kegawatan ekonomi.

Apa yang mungkin dibentangkan: Jumlah tenaga kerja di Malaysia berjumlah 12 juta tetapi hanya 1.7 juta yang meraih pendapatan lebih daripada RM3,000 dan dikehendaki membayar cukai pendapatan. Berbanding langkah jangka panjang memberi jaminan kewangan bagi golongan terbanyak, kerajaan dijangka memperuntukkan bantuan kewangan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

7) Apa industri pertahanan mahu: Kereta kebal besar, kapal besar, senjata besar dan wang besar. Lebih besar lebih baik bagi mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Apa yang mungkin dibentangkan: Segala yang dituntut Menteri Pertahanan, walaupun di masa lalu segala yang diberikan tidak tentu menghasilkan tugasan yang baik.

8) Apa warga Sabah dan Sarawak mahu: Lebih banyak dana dan peruntukan dan lebih banyak dana. Kegunaannya ialah bagi meningkatkan taraf hidup kesemua penduduk dan bukannya sesetengah penduduk sahaja.

Apa yang mungkin dibentangkan: Sabah dan Sarawak dijangka mendapat lebih banyak dana melalui peningkatan royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar minyak. Tiada jaminan tentang bagaimana dana ini disalurkan.

9) Apa pertubuhan sivil mahu: Kurang kekangan dan lebih banyak bantuan, bukannya saingan daripada kerajaan. Jika dana kerajaan disalurkan kepada organisasi yang berhak, mungkin dakwaan seperti “Yahudi atau Israel atau Soros yang membiaya” tidak akan kedengaran lagi.

10) Apa wartawan mahu: Bagaimana saya nak mulakan? Sekejap. Tiada siapa peduli? Ok.

Tetapi yang paling utama, tiada siapa mahu harga minyak RON95 dan disel dinaikkan kerana harga barangan lain juga akan meningkat. Kerajaan tidak akan mampu menghalangnya.

Pada bahagian kedua rencana ini, Semut Harian akan membandingkan jangkaan kami dengan apa yang benar-benar dibentangkan Perdana Menteri.   http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: