Isnin, 27 Oktober 2014

iBR1M 2014: Tuntutan RM42 juta tapi bayar RM350 juta?

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi maklumat mengenai individu atau pihak yang bertanggungjawab memperkenalkan iBR1M kepada kerajaan.

Ini kerana katanya, sehingga 24 September 2014 jumlah bayaran perlindungan takaful yang dituntut oleh penerima BR1M 2014 hanya RM42 juta sahaja.

Sedangkan katanya, jumlah bayaran premium iBR1M 2014 yang dibayar adalah RM350 juta iaitu bayaran RM50 bagi setiap penerima BR1M yang berjumlah 7 juta orang.

"Bayaran premium ini dibayar kepada konsortium syarikat-syarikat takaful insurans.

"Dengan jumlah tuntutan yang hanya berjumlah RM42 juta sahaja sehingga akhir September 2014, ini bermakna Kerajaan Persekutuan telah membayar lebih RM300 juta dalam bentuk keuntungan bersih kepada syarikat-syarikat insurans," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Tegasnya, sekiranya Kerajaan Persekutuan membuat unjuran yang betul dan dapat menjangkakan jumlah penerima BR1M 2014 yang akan membuat tuntutan secara realistik maka kerajaan hanya perlu membayar RM42 juta bukannnya RM350 juta.

Skim khairat kematian seperti ini, katanya telah dilaksanakan dengan jayanya oleh kerajaan Selangor di bawah Skim Mesra Usia Emas dan tidak menelan belanja yang merugikan rakyat seperti ini.

"Saya yakin ada unsur mengambil keuntungan oleh pihak tertentu dengam menggunakan nama rakyat sebagai alasan. Hakikatnya skim perlindungan takaful telah dihentikan bermakna kerajaan pun mahu menutup perkara ini dari ketahui umun," katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.

Rafizi turut mendesak kerajaan mendedahkan nama syarikat yang mendapat komisen memperkenalkan iBR1M kepada konsortium syarikat insurans dan berapa komisen yang dibayar kepada syarikat ini.

"Kelalaian kerajaan Persekutuan membenarkan sehingga RM350 juta tiris kepada syarikat-syarikat besar adalah satu kesalahan yang perlukan tanggungjawab untuk memastikan sama ada ia ada unaur kecuaian semata-mata atau ada unsur rasuah," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: