Selasa, 21 Oktober 2014

Hudud ikut proses demokrasi, Chong boleh bahas

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar hari ini meminta Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen lebih bersifat demokratik dalam isu pelaksanaan hudud.

Kata beliau, cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan telah melalui satu proses demokrasi apabila ia dibentang dan dibahas pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Proses hudud ini melalui jalan yang betul (demokrasi) dan bukannya melalui pintu belakang.

"Ia dibawa dan dibentang di peringkat Dun kemudian dipersetujui untuk pelaksanaannya di Kelantan.

"Tetapi itu hanya di peringkat Dun dan kita masih terhalang kepada undang-undang di peringkat Persekutuan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, ia timbul apabila Kerajaan Persekutuan menawarkan diri supaya Kerajaan Kelantan membawa isu pelaksanaan hudud ke Parlimen bagi membuat beberapa pindaan.

"Bila ada tawaran, Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju membawa isu hudud ini ke Parlimen sehinggalah wujudnya Jawatankuasa Teknikal Khas untuk membincangkan beberapa pindaan.

"Segala proses jelas melalui sistem demokrasi yang ada dan tidak ada langsung pelaksanaan ini melalui pintu belakang.

"Bila ia dibawa ke peringkat Parlimen semua pihak termasuk DAP, Barisan Nasional (BN) boleh berbahas untuk bersetuju melaksanakannya atau tidak.

"PAS dan Kerajaan Kelantan bersedia menerima apa-apa jua keputusan yang dibuat nanti, kita berpuashati kerana ia melalui proses demokrasi bukannya paksaan," sambung beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut memberitahu Ahli Parlimen Kuching itu juga boleh berbahas jika tidak bersetuju pelaksanaannya di dalam sistem demokrasi yang sebenar.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Chong bertegas sambutan Oktoberfest hanya untuk orang bukan Islam dan beliau sepatutnya faham bahawa hudud hanya untuk orang Islam di Kelantan sahaja.

"Beliau perlu bersikap adil dalam hal ini, kalau beliau kata Oktoberfest hanya untuk orang bukan Islam begitu juga hudud ia hanya untuk orang Islam sahaja.

"Saya juga meminta agar Chong tidak mencampuri urusan serta mempengaruhi pemilihan dalam PAS kerana ahli-ahli PAS lebih mengetahui apa yang mereka lakukan.

"Kita tidak pernah mencampuri pemilihan dalam DAP dan berharap mereka turut menghormati kita di dalam PAS," tambah beliau. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: