Selasa, 14 Oktober 2014

Dengan pelbagai pengecualian, lebih baik GST ditangguh

gst

Roketkini.com.


KUALA LUMPUR: Dengan pengecualian ke atas pelbagai jenis barangan daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), adalah lebih baik kerajaan menangguhkan rancangan pelaksanaannya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, cukai baru itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, bahkan merumitkan urusan melibatkan masyarakat perniagaan dan pihak jabatan kastam.

“Kerajaan akhirnya menyedari beban GST ke atas golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam negara sebaik pelaksanaannya mulai April tahun depan.

“Memandangkan begitu banyak pengecualian seperti diumumkan Perdana Menteri, ini menimbulkan persoalan sama ada kerajaan terburu-buru untuk melaksanakan GST.

“Ia juga membuktikan kenyataan kami bahawa GST menjadi beban utama rakyat, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Dalam ucapan Belanjawan 2015 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengecualian tambahan item daripada GST, selain senarai sedia ada bagi barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai GST.

Antara barangan yang termasuk dalam senarai tersebut semua jenis buah-buahan, roti putih dan gandum, serbuk teh, kopi dan koko; mee kuning, kuey teow, laksa dan bihun; bahan-bahan bacaan selain ubat-ubatan meliputi hampir 2,900 jenama.

Tambah Pua, golongan peniaga terpaksa memisahkan beberapa akaun berikutan perniagaannya melibatkan jenis barangan yang disenarai sebagai cukai GST berkadar sifar, sekaligus membebankan kumpulan tersebut.

“Sesetengah perniagaan terdorong mengelak cukai ke atas bekalan yang dikenakan cukai, walaupun tidak berhasrat untuk mengelak.

“Namun secara tidak sengaja boleh melakukan kesilapan akibat kerumitan dan mereka perlu meneliti semula dan membetulkan. Dengan itu menambah pula kepada kos pentadbiran,” kata Pua.

Tegasnya, GST meletakkan 80 peratus pekerja Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak layak membayar cukai pendapatan dalam kedudukan tidak seimbang, dalam masa sama melepaskan baki 20 peratus pekerja Malaysia melalui pemotongan faedah cukai pendapatan.

“Kerajaan tidak harus terburu-buru melaksanakan GST, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan 80 peratus pekerja Malaysia dengan gaji lebih tinggi, untuk kemudiannya ‘melayakkan’ mereka membayar cukai pendapatan,” kata Pua. – Roketkini.com.

Tiada ulasan: