*TAHNIAH saya kepada mana-mana pihak yang telah tidak jemu-jemu, pagi-petang, siang-malam melakukan kerja-kerja melobi dan promosi, khasnya kepada Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Megah juga rasa apabila Malaysia berjaya memenangi salah satu Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dengan memperoleh 187 daripada 192 jumlah undi. Ini kali keempat kita menduduki kerusi tersebut.

Walaupun tidak sehebat menduduki kerusi Setiausaha Agung PBB, dapat kerusi tidak tetap untuk tempoh dua tahun pun kira okey.

Sekurang-kurangnya ada suara kita – tidak kira sekecil mana pun – dalam pertubuhan dunia yang gah itu.

Seperti yang telah dimaklumkan, di bawah Piagam PBB, Majlis Keselamatan mempunyai tanggungjawab utama untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Setiap anggota Majlis mempunyai satu undi.

Dalam keadaan dunia, khasnya rantau negara-negara Islam yang tidak habis-habis bergolak – dan digolak-galikkan kuasa-kuasa besar dunia – sekarang, satu suara kecil Malaysia boleh menjadi signifikan di badan dunia yang dalam banyak perkara dianggap bias dan prejudis terhadap Islam itu.

*BUKANLAH saya iri hati kepada Rozita Che Wan. Tidak juga saya menyalahkan pelakon jelita yang kini menunggu masa untuk melahirkan anak pertama hasil perkahwinannya dengan pelakon Zain Saidin.

Tetapi saya bersetuju dengan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor yang meminta Hospital Ampang Puteri milik Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) supaya menimbang semula tajaan bersalin kepada pelakon berkenaan.

Menurut Penyelaras SAMM Johor Hadzril Rizal aktres popular itu mampu membiayai sendiri urusan bersalin. Katanya seperti yang dilaporkan media: “...sedangkan ramai lagi rakyat negeri Johor yang langsung tidak dapat menikmati apa-apa keistimewaan di pusat-pusat perubatan milik KPJ.”

Beliau menyebut kes adik Mohd Aqil Rida dari Parit Sulong, Johor yang terdesak dan memerlukan bantuan kewangan bagi pembedahan jantungnya di Institut Jantung Negara (IJN).

Berbanding dengan Che Ta yang serba mampu, sepatutnya adik Mohd Aqil yang diberi keutamaan sebab dia memang tidak mampu.

*ADA yang kurang senang dan tidak suka, tetapi saya percaya ramai juga yang senang dan teramat suka... itulah halnya apabila empat wanita warga asing bersantai di Pantai Saujana Batu 4, Port Dickson dalam keadaan separuh bogel, beberapa hari lalu.

Wanita mat salih itu – tiga, berusia lingkungan 20an, seorang lagi 50an – berenang dan menjemur tubuh dengan hanya memakai seluar dalam tanpa seurat benang pun menutup bahagian dada.

Seperti yang dilaporkan media, ada pengunjung pantai yang seram-sejuk sambil menutup muka kerana tidak suka dengan dada-dada yang tidak bertutup itu.

Bagi mereka itu adalah perbuatan melampau. Tetapi ramai juga yang sengaja singgah untuk menonton pameran buah-buahan antarabangsa itu!

Apa pun tindakan separuh bogel empat wanita Eropah tidak dapat mengalahkan keberanian – juga kebiadaban – sepuluh orang lelaki dan wanita yang menyertai pesta sukan bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang (TNPP), Teluk Bahang pada Mei lalu.

Mereka, termasuk beberapa orang warga Malaysia, bertelanjang bogel tanpa sedikit pun berasa malu. Agaknya mereka ingat negara ini tidak ada undang-undang sebab itu mereka meniru gaya monyet tidak berpakaian.

Enam telah mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan. Empat lagi tidak mengaku bersalah dan kes mereka akan diuruskan 21 November ini atas tuduhan di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Yang bogel penuh telah dihadapkan ke mahkamah. Apakah kes ‘mek salih’ yang selamba sahaja mendedahkan dada masing-masing itu akan juga diambil tindakan?

*AKHIR kalam, siapa sahaja yang berduit boleh memohon bidaan untuk membeli nombor plat kenderaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad.

Beliau memberitahu, tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam penjualan nombor plat eksklusif, dan setiap tahun pihaknya berjaya menjual nombor-nombor istimewa bernilai kira-kira RM400 juta.

“Kesemua wang jualan ini diserahkan terus kepada kerajaan tanpa JPJ mengambil sesen pun,” katanya. Bagus juga apabila orang kaya sanggup membayar beratus juta RM untuk nombor plat. Pastikan mereka juga membayar cukai pendapatan!- TOK PERAK