Selasa, 21 Oktober 2014

Batal saja AES, sudah jadi projek 'gajah putih'

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya mengumumkan pembatalan Projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bernilai RM700 juta kerana didakwa telah menjadi sebuah projek 'gajah putih', demikian tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, belum terlambat untuk kerajaan mengadakan rundingan dengan syarikat yang mengendalikan AES bagi membatalkan perjanjian itu walaupun terpaksa membayar ganti rugi.

"Bagi saya sepatutnya kerajaan umumkan pembatalan AES walaupun kerajaan terpaksa bayar ganti rugi kerana ianya masih belum terlambat untuk adakan rundingan dengan syarikat terbabit

"Kerana AES ini sangat menyusahkan rakyat.Isunya kita tegas tolak AES batalkan terus semua perjanjian dan bayar ganti rugi," katanya.

Katanya, soal AES menjadi gajah putih kerana kesilapan perancangan kerajaan yang sepatutnya projek tersebut memberi manfaat kepada rakyat.

Malahan beliau menegaskan projek AES bukan jalan penyelesaian mengatasi kemalangan sebaliknya adalah melalui pendidikan.

"Malangnya kerana masalah perundangan menyebabkan Peguam Negara terpaksa gantung pendakwaan yang telah dikeluarkan kepada mereka yang kena saman AES. Akhirnya AES tidak dapat berfungsi hingga sekarang," katanya yang juga Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Sementara itu Peguam Kase Zulhazmi Shariff berkata, sejak 18 Disember 2012 sehingga hari ini, sememangnya JPJ masih mengeluarkan saman AES tetapi seperti yang disebutkan oleh Ketua Pengarah JPJ, mereka tidak ada sebarang kuasa untuk menguatkuasakan saman tersebut kerana prosidingnya dibekukan oleh Peguam Negara.

"Apabila JPJ tiada apa-apa kuasa selanjutnya terhadap saman-saman AES, maka semua penerima Saman AES boleh abaikan sahaja saman-saman yang diterima. Tidak perlu bayar  dan tidak perlu ke mahkamah sehingga pembekuan prosiding ditarikbalik oleh Peguam Negara," katanya.

Katanya, JPJ telah menghentikan pengeluaran saman AES kerana saman-saman tersebut tiada apa-apa makna kerana JPJ tiada kuasa menguatkuasakan saman yang dikeluarkan.

Justeru katanya, tindakan JPJ keluarkan saman selepas pembekuan itu, telah mengelirukan dan menganiaya pengguna kerana pengguna tidak pasti status AES lalu ada di antara mereka membuat keputusan membayar kompaun sedangkan perkara tersebut tidak perlu.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan hanya kira-kira 200,000 saman daripada jumlah itu diselesaikan, tetapi tanpa kuasa untuk menyenaraihitamkan mereka yang tidak membayar, AES menjadi alat tidak berkesan untuk mencegah mereka yang memandu melebihi had laju.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata AES masih relevan, tetapi ia jadi sia-sia selagi pembekuan masih diteruskan.

Syarikat milik penuh kerajaan, AES Solutions Sdn Bhd, akan mengambil alih pengurusan AES daripada ATES dan Beta Tegap bagaimanapun sehingga kini belum ada apa-apa perkembangan tentang perkara tersebut. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: