Selasa, 14 Oktober 2014

Bajet 2015 dan mahasiswa


Oleh Nur Azam Amirudin



Baru-baru ini kita menyaksikan perdana menteri membentangkan bajet negara bagi sesi 2015. Kami menyambut baik langkah kerajaan bagi meringankan beban rakyat menerusi peningkatan nilai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan beberapa pengecualian cukai ke atas pendapatan di bawah RM4000.

Sungguhpun demikian, kami Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Kuantan (UIAMK) melihat ia masih tidak lagi mampu menyelesaikan masalah akar umbi yang dihadapi rakyat Malaysia terutama golongn petani, penoreh getah, peniaga kecil, dan fakir miskin serta mahasiswa.

Kenaikan harga minyak yang diumumkan sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha minggu lalu ditambah pula harga pasaran getah yang tidak konsisten sehingga menyukarkan lagi kehidupan penoreh getah yang hanya bergantung kepada pekerjaan ini sebagai punca pendapatan harian mereka.


Kita juga boleh melihat akibat daripada kenaikan ini peniaga kecil berada dalam dilema seakan-akan tidak mempunyai pilihan lain melainkan mereka terpaksa meningkatkan lagi harga barangan runcit serta makanan bagi menampung kos pengangkutan yg meningkat.

Kesannya, walaupun rakyat menikmati pemberian BR1M dan pengecualian cukai, hakikatnya, mereka masih terbeban untuk menampung kos sara hidup yg semakin meningkat. Perkara inilah yang disebut sebagai domino effect iaitu kesan kumulatif yang dihasilkan apabila satu peristiwa mencetuskan rantaian peristiwa yang sama.

Mahasiswa juga tidak terlepas daripada tekanan dalam mengharungi kehidupan di kampus. Walaupun menerima bantuan baucar buku RM250, namun dengan harga barangan keperluan yg akan dinaikkan, mahasiswa perlu memikirkan beban hutang PTPTN yg perlu ditanggung ditambah dengan masalah pengangguran selepas graduasi yg masih belum ada jalan penyelesaian yg meyakinkan. Disebabkan itu, kami mahasiswa amat menyokong diskaun berpanjangan diberikan untuk pembayaran semula hutang PTPTN.

Justeru itu, kami Mahasiswa UIAMK ingin memohon pihak kerajaan mempertimbangkan secara mendalam berkenaan isu-isu berkaitan rakyat dan mahasiswa. Segala lontaran idea dan polisi daripada pihak lawan mahupun kawan perlu dijadikan suatu pertimbangan sebelum benar-benar memutuskan sesuatu keputusan. Kami MPP UIAMK juga menyeru semua mahasiswa agar sentiasa mengawasi dan cakna terhadap segala yang berlaku di dalam negara kita ini.

Ingatlah! Kita adalah bakal pemimpin bagi generasi akan datang.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah An-Nisa’ ayat ke-58)

* Penulis ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Kuantan.

Tiada ulasan: