Isnin, 27 Oktober 2014

Apa perkembangan terkini Institut Islam Hadhari

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini Institut Islam Hadhari.

"Apakah fungsinya kini kepada kemajuan serta perkembangan agama Islam dalam negara?" ujarnya dalam pertanyaan bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.  

Institut Islam Hadhari diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi digabungkan dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini sebagaimana di bawah.

Nasrudin Hassan [Temerloh] minta Menteri Pendidikan menyatakan usaha-usaha yang dibuat bagi mempromosikan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TEVT) sebagai pilihan utama pelajar memandangkan bidang itu dikatakan mempunyai prospek kebolehpasaran yang tinggi selepas menamatkan pengajian.  

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan berapakah purata pendapatan yang diperoleh oleh petani dalam Parlimen Bachok daripada hasil tanaman kenaf berbanding tembakau yang pernah memacu ekonomi petani Bachok.  

Dr. Haji Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan jalan-jalan kampung yang akan dinaiktarafkan bagi tahun 2014 dan 2015 di Parlimen Pengkalan Chepa.  

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah tindakan penyelesaian kemendapan tanah sambungan kepada jalan dengan kepala jambatan seperti di laluan 145 Seksyen 1, Km 3 Jambatan Sungai Ruang dan Km 4 Jambatan Sungai Teluk Kalung Jalan Chukai - Dungun.  

Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan bilakah harga kereta akan mula diturunkan seperti yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Ke-13.  

Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Sumber Manusia menyatakan rasionalnya Kerajaan bercadang untuk membawa masuk 1.4 juta orang Bangladesh dan akan diberi kad pengenalan khas. Apakah kesan jika keselamatan negara dikuasai oleh bangsa asing.  

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Kewangan menyatakan apakah jaminan Kerajaan agar pekerja-pekerja MAS yang akan dibuang kerja ekoran penstrukturan semula MAS tidak menghadapi tekanan ekonomi dan menambahkan pengangguran.  

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Pendidikan menyatakan kejadian soalan bocor pada kertas peperiksaan utama di Malaysia kerap kali kedengaran. Terkini ialah apa yang berlaku kepada kertas mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris 1 & 2 untuk peperiksaan UPSR. Pada pandangan Kementerian, di manakah sebenarnya kelompangan pada sistem penyediaan dan pengagihan soalan sehingga ia boleh diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membocorkannya dan apakah mekanisme yang dibentuk bagi menjamin perkara sama tidak akan berulang. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: