Selasa, 21 Oktober 2014

Anwar ke UM sebelum rayuan terakhir kes liwat

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melawat Universiti Malaya (UM) tempat beliau pernah menuntut ilmu, sehari sebelum rayuan terakhir terhadap sabitan kes pertuduhan liwat terhadapnya dibuat.

Anwar, pemimpin pelajar lantang sekitar 1970-an, dijadual hadir ke program persatuan mahasiswa bagi bercakap berhubung perjalanannya daripada UM ke penjara – yang mungkin berlaku buat kali kedua.

Program pada 27 Oktober itu dinamakan “Anwar Ibrahim: 40 tahun, dari UM ke penjara” dijadual diadakan pada jam 9 malam di dataran Dewan Tunku Canselor.

Bagaimanapun majlis pelajar itu belum memaklumkan kepada pihak universiti.

“Kami tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada universiti kerana dataran Dewan Tunku Canselor adalah tempat awam.

“Anwar juga bekas pelajar, jadi beliau ada hak masuk ke kampus UM,” kata timbalan presiden majlis pelajar Lee Jin Yang kepada Malaysiakini.

Lee berkata, pertuduhan liwat terhadap Anwar menjadi kes penanda aras dan banyak pihak masih tidak dimaklumkan sepenuhnya berhubung perkara itu.

Program itu juga dirancang terbuka untuk orang awam.

UM kata 'tidak'

“Kami harap Anwar mempunyai peluang menjelaskan kepada pelajar dan masyarakat awam, dan meluahkan pandangannya.

“Ini selari dengan kebebasan akademik dan maklumat,” katanya.

Pegawai media UM Rohaizan Ramli bagaimanapun berkata, mereka tidak mendapat permohonan untuk mengadakan program itu.

“Jika tiada permohonan, bermaksud pengucapan umum tidak mendapat kebenaran daripada universiti,” katanya.

Tiada ulasan: