Ahad, 19 Oktober 2014

Anak muda diseru turun ke Putrajaya 28 dan 29 Oktober ini

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : NGO JINGGA 13 menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya Anak muda untuk hadir ke Istana Kehakiman Putrajaya pada 28 dan 29 Oktober ini bagi memberi sokongan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata sokongan tersebut penting berikutan Anwar  selama ini lantang memperjuangkan nasib rakyat, namun menjadi mangsa kekejaman Umno BN.

fariz_musa“Kezaliman terhadap Anwar Ibrahim adalah lambang kezaliman terhadap rakyat, Anwar Ibrahim terseksa kerana memilih untuk bersama rakyat, beliau ialah mangsa politik kotor dan jijik Umno BN.

“Mereka (Umno BN) terpaksa mengunakan institusi kehakiman sebagai ‘nyawa’ untuk menyelamatkan pimpinan UMNO BN yang bersalut kerakusan, rasuah, penyelewengan, ketirisan dan kezaliman serta mengkhianati rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, tindakan Anwar menolak  kemewahan yang ditawarkan  kepadanya memperlihatkan beliau tidak pernah lari daripada perjuangannya untuk menentang kezaliman kerajaan.

“Anwar Ibrahim boleh memilih untuk mengkhianati rakyat dan Pakatan Rakyat dengan menerima tawaran sebagai Timbalan Perdana Menteri atas nama Konsensus Nasional, itulah manusia bernama Anwar Ibrahim yang punya prinsip dan idealisme menolak tawaran tersebut.

“Beliau juga boleh memilih dan menerima tawaran untuk ke luar negara, sepertimana yang ditawarkan oleh Turki, tetapi Anwar Ibrahim adalah pejuang rakyat, mati hidupnya adalah untuk Rakyat Malaysia dan kecintaan beliau kepada Malaysia yang tercinta,” katanya.

Justeru beliau menyeru rakyat supaya bangkit mempertahankan institusi kehakiman dan menentang pelbagai akta yang mencengkam kebebasan rakyat seperti Akta Hasutan 1948.

Tiada ulasan: