Selasa, 21 Oktober 2014

Ada apa pada Parlimen Belia?



Oleh NUR NAJIHAH MUHAIMIN


Penghijrahan saya sekeluarga ke United Kingdom pada usia 15 tahun, menjadi satu titik tolak mengapa saya memilih untuk menjadi calon Parlimen Belia Malaysia. Sudah lama juga menunggu, mana tahu kerajaan Malaysia akan melaksanakan Parlimen Belia. Nak bersuara perlu ada kekuatan pengaruh.

Parlimen Belia sudah dilaksanakan di beberapa buah negara, antaranya UK, Sweden,negara-negara Eropah dan Malaysia akhirnya melaksanakan juga!

Parlimen Belia bertindak sebagai platform untuk anak muda bersuara dengan cara yang lebih professional dan juga mencari pemimpin pelapis negara.

Perbincangan saya bersama dengan salah seorang pegawai belia daerah, tahun pertama Parlimen Belia diperkenalkan adalah pada tahun 2013.

Pengakhiran 2014, Parlimen Belia mulai sedikit demi sedikit mendapat tempat, walaupun masih dingin lagi sambutannya.
Parlimen Belia mengunakan sistem online, termasuk mengundi, mendaftar dan melihat maklumat tentang calon, boleh dilayari di www.parlimenbelia.gov.my

Kadang melekat rasa membanding-bandingkan antara negara penjajah dan tanah air sendiri. Bukan tidak tahu rasa bersyukur, tetapi semangat untuk membawa idea-idea dari sana adalah untuk kebaikkan rakyat jelata.

Di UK, NGO memainkan pengaruh yang besar. Pilihan raya di sana tidak semeriah pilihan raya di sini. Masakan tidak ada perang poster, bendera atau lompat parti dan sebagainya. Lain  pula di Malaysia, aib dan hal peribadi seorang ahli politik boleh dijaja, dijual beli dan sepertinya tiada etika.

Rakyat di UK sudah jelek dengan janji manis parti-parti politik. Maka tidak hairanlah jika NGO menjadi pilihan. Ketika berada di sana, saya juga mulai terlibat sebagai aktivis Islamic Relief UK dan Amnesty International UK. Menjadi sukarelawan sedikit sebanyak menambahkan kemahiran sosial komunikasi, pengetahuaan dan keyakinan diri.

Ketika musim pilihan raya negara, guru besar sekolah saya, Mr Davies mengambil peluang untuk melihat kecenderungan pelajar-pelajar terhadap parti politik. Diletakkan peti undi di hadapan kantin, kemudian pelajar bebas untuk mengundi parti pilihan mereka.

Hebat bukan? Seawal 13 tahun diberikan pendedahan politik. Bukan itu sahaja, malahan pelajar boleh mengunakan dewan sekolah untuk tujuaan projek amal kebajikan. Pihak sekolah begitu positif melihat pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti kerja amal, ianya sesuatu yang biasa bagi mereka.

Saya juga telah dianugerahkan Headmaster Award 2010 sebagai penghargaan pihak sekolah kerana saya adalah antara pelajar yang aktif dalam kerja amal di bawah Islamic Relief UK dan Amnesty International.

Kesimpulannya, pendidikan politik haruslah dimulakan dengan cara yang lebih ilmiah, bersifat neutral, tidak mempunyai kepentingan kepada mana-mana parti tetapi dapat dimanfaatkan untuk semua.

Berikan kebebasan kepada anak muda untuk bersuara, bertindak dan mengambil inisiatif Parlimen Belia ini sebagai satu tanggungjawab rakyat jelata, bukan dibayar, diupah dan sebagainya. Saya sebagai salah seorang calon dari Praktikal Idealis Malaysia yang membawa mesej ke arah agenda pencerahan.

Saya berganding bahu tanpa mengira ideologi politik yang berbeza, bersepakat untuk membawa suara-suara belia tanpa kongkongan parti-parti politik.  Saya juga mewakili grup Buku Jalanan Teluk Intan iaitu satu grup Indie yang memupuk semangat sukarelawan di kalangan belia dan masyarakat.

Grup Indie memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan negara. Pihak berkuasa banyak terlepas pandang akan keberkesanan grup Indie ini membentuk satu masyarakat madani.

Saya membawa tema Belia Berani Berjiwa Merdeka Inspirasi Masyarakat, kerana ini selari dengan keperluaan belia masa kini. Dr Burhanuddin Al Helmy, A Samad Said, Prof Dr Muhaya, Yuna dan keluarag saya adalah antara pencetus tema ini.

Kepada yang berkuasa dan tidak berkuasa, biarkan kami bebas membawa idea. Bukan juga menafikan sumbangan parti-parti yang menyumbang kepada pembangunan negara Malaysia, tetapi untuk kali ini, kami anak muda Malaysia bersatu hati demi kebaikan negara.

Selamat datang ke Praktikal Idealis Malaysia dari Parlimen Belia Malaysia! Selamat mengundi dan selamat memilih pemimpin yang bukan sekadar mempunyai misi yang retorik, tetapi mempunyai rasa ikhlas dan jujur yang nyata.

Biar kalah bermaruah dari menang dengan rasuah!

(*) NUR NAJIHAH MUHAIMIN adalah seorang calon Parlimen Belia Malaysia Negeri Perak.

Tiada ulasan: