Isnin, 20 Oktober 2014

30,000 belum selesai urus pindah milik hartanah

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 30,000 pemilik hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) belum menyelesaikan urusan pindah milik hartanah mereka.
 
Sehubungan itu, Pengurus Besar PKNS, Azlan Md Alifiah menyeru semua pemilik terlibat berbuat demikian sempena Program Pindah Milik Mega PKNS yang berlangsung sehingga Januari tahun hadapan.

“Kita ingin pastikan setiap pemilik terlibat dapat hak milik mereka. Ini bagi mengelakkan masalah yang lebih berat di kemudian hari,” ujarnya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, sekirannya pemilik meninggal dunia, ia akan memberi masalah kepada pewaris untuk menukar hak milik.

“Ia juga memberi masalah kepada cukai pintu dan cukai tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Mesra Pelanggan 2014 PKNS di Shah Alam City Center (SACC) Mall, semalam.
Program Pindah Milik Mega 2014 bermula 18 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir pada 15 Januari 2015.

Program tersebut diadakan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi dan Kompleks PKNS Kota Damansara sebagai kempen besar-besaran bagi memastikan urusan pindah milik hartanah setiap pemilik diselesaikan.

Tiada ulasan: