Kamaruddin bersama beberapa penduduk kampung melihat lembu yang mati di sawah padi Kampung Kemat, di sini. Kamaruddin bersama beberapa penduduk kampung melihat lembu yang mati di sawah padi Kampung Kemat, di sini.
 
 
HULU TERENGGANU – Seorang penternak yang menyangka sekumpulan lembu sedang tidur di bawah pokok bongor terkejut apabila mendapati kesemua 13 ekor lembu itu mati dipercayai terkena renjatan kilat dalam kejadian di Kampung Kemat, di sini, lewat petang kelmarin.

Kamaruddin Ali, 53, berkata, ekoran kejadian bencana alam itu, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 termasuk lima ekor lembu milik saudaranya yang diserahkan untuk dijaga.

Dia menyedari lembunya mati kira-kira jam 5.30 petang kelmarin apabila dia datang untuk membawa ternakan itu masuk ke kandang yang terletak lebih kurang satu kilometer dari kawasan kejadian.

“Memang petang itu (kelmarin) hujan lebat berserta kilat, tetapi saya tidak terfikir langsung akan berlaku kejadian buruk kepada lembu-lembu di sini kerana menyangka ia selamat berada di kawasan seperti ini (sawah padi).

“Saya amat terkejut dengan kejadian ini kerana apabila tiba, semua lembu sudah tidak bernyawa dipercayai mati akibat dipanah petir, lagipun terdapat kesan terbakar pada daun pokok bongor ini,” jelasnya ketika ditemui di tempat kejadian, pagi semalam.

Apa yang lebih menyedihkan Kamaruddin, dia baharu sahaja melepaskan lembu itu dua hari lalu kerana pemilik sawah telah selesai mengetam padi.

Menurutnya, menjadi rutin penduduk di kampung itu apabila selesai musim mengetam padi, penternak akan melepaskan lembu mereka di kawasan terbabit.

“Saya baru sahaja melepaskan lembu di sini dua hari lepas dan tidak menyangka kejadian ini berlaku menyebabkan sekelip mata sahaja saya kehilangan lapan ekor lembu serentak,” katanya.

Ekoran kejadian itu juga, Kamaruddin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pagi semalam dan dalam masa sama akan menyelesaikan urusan menanam ternakan berkenaan.

Boleh cuba mohon bantuan

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad berkata, mangsa boleh memohon bantuan daripada kerajaan walaupun kejadian itu disebabkan bencana alam.

“Insya-Allah kita akan menyalurkan sedikit bantuan sebagai ihsan daripada kerajaan kerana penternak menanggung kerugian yang banyak akibat kejadian itu walaupun lembu terbabit adalah milik persendirian.

“Apa yang penting, surat permohonan perlu dibuat dan disertakan sekali dengan laporan polis supaya memudahkan urusan pemberian bantuan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr Abdul Razak Mohd Zailan berkata, pihaknya telah pun mengarahkan pegawai veterinar daerah untuk ke kawasan kejadian petang semalam.

Bagaimanapun, menurut Razak, jabatannya tidak menyediakan bantuan khas untuk kes sedemikian tetapi boleh dirujuk kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri berkaitan.