Selasa, 2 September 2014

Zailah tidak tandatangani kenyataan sokong Azizah

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Kenyataan Wanita Pakatan Rakyat yang menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor tidak ditandatangani oleh Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof.



Malah, kenyataan itu juga belum sempat diperhalusi Siti Zailah berkaitan ayat-ayat dan maksud kenyataan tersebut, tegas Siti Zailah dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.



"Kenyataan semalam (Isnin) disebar tanpa sempat saya perhalusi dan ditandatangani serta Dewan Harian Muslimat turut memutuskan untuk menangguhkan kenyataan itu kerana membawa maksud yang berbeza," tegas beliau lagi yang sibuk dengan jadualnya di Sabah, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, beliau memang ada menyatakan sokongannya terhadap Wan Azizah, tetapi ia berdasarkan kepada keputusan PAS Pusat yang mencadangkan Wan Azizah dan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

Siti Zailah yang kesal dengan penyebaran kenyataan tersebut turut menegur pimpinan wanita yang bertindak menyebarkan kenyataan tersebut tanpa tandatangan beliau.

"Saya tidak mahu berbalah. Hanya Allah yang mengetahui isi hati saya. Wala' kami kepada keputusan PAS Pusat sahaja," kata beliau lagi.

Semalam, Wanita Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyatakan sokongan penuh kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Kenyataan itu didakwa turut ditandatangani Siti Zailah, yang dilihat tidak selari dengan keputusan PAS Pusat berhubung krisis politik di Selangor itu.

Tiada ulasan: