Khamis, 4 September 2014

Wartawan Mkini ditahan polis, telefon dirampas

MALAYSIAKINI


 


Wartawan Malaysiakini yang disiasat bawah Akta Hasutan berkaitan tulisannya berhubung temu bual dengan exco Pulau Pinang Phee Boon Poh ditahan polis.

Susan Loone ditahan ketika disoal siasat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

Telefonnya juga dirampas pihak berkuasa.

Beliau dijangka dibebaskan dengan jaminan polis malam ini.

Susan sebelum ini hadir ke IPD itu memberi keterangan kira-kira jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Susan ditahan.

Susah berkata beliau hanya menjalankan sebagai wartawan.

“Saya telefon Phee dan beliau menjawabnya. Saya tanya beberapa soalan berhubung pengalamannya di balai polis dan beliau menjawab soalan saya.

"Saya tulis apa beliau kata, tidak lebih daripada itu,” katanya sebelum ke balai polis siang tadi.

Siasatan itu dibuat ekoran 10 laporan polis yang dibuat pada Selasa oleh PERKASA dan 13 NGO lain di Pulau Pinang.

Kumpulan yang diketuai oleh Ketua Wira PERKASA Pulau Pinang Mohd Rizuad Azudin itu menggesa polis bertindak terhadap Susan dan Malaysiakini kerana didakwanya memfitnah polis.

Artikel dipertikaikan itu bertajuk “Disoal siasat Selama 4 jam, dakwa dilayan seperti ‘penjenayah’,” yang diterbitkan pada Isnin.

Ia terjemahan Bahasa Malaysia artikel dalam bahasa Inggeris yang bertajuk "Exco man grilled for four hours, treated like ‘criminal’," yang diterbitkan pada hari sama.

Cabul kebebasan media

Sementara itu, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar (kiri) melihat tindakan itu sebagai satu lagi bentuk tekanan dalam siri pencabulan terhadap kebebasan media.

"Tidak cukup siasatan, malah telefon beliau juga turut dirampas. Tindakan ini sudah berlebihan," katanya.

Beliau juga menegaskan Susan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam laporannya yang disiasat itu.

"Jika diteliti, beritanya itu hanya memetik satu kenyataan lazim seorang pemimpin negeri (anggota exco) selepas disiasat polis pada 1 September," katanya.

Tiada ulasan: