MALAYSIAKINI
Pendakwaan bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Pensyarah Undang-undang
Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Azmi Sharom mengundang kebimbangan
warga universiti terhadap kebebasan akademik negara ini.
Walaupun bersetuju “kebebasan akademik ada batasnya”, Pensyarah terkenal Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff (bawah) berkata, pandangan golongan cendekiawan tidak harus disekat.
“Mereka
adalah harta negara yang kita perlu jaga,” kata pensyarah Fakulti
Kemanusiaan dan Sains Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
itu.
“Yakinilah kehebatan sesebuah universiti itu bukan terletak pada
bangunannya yang cantik tetapi terletak kepada keupayaan mahasiswa dan
pensyarahnya untuk berbincang, mengkaji dan menulis dalam suasana yang
mempunyai ruang untuk meraikan persamaan dan juga perbezaan.”
Azmi, 45, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009, pada 15 Ogos lepas.
Azmi yang juga presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM dituduh
menyebut perkataan itu di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur
(IPKKL) di Jalan Hang Tuah.
Menulis di Facebook hari ini, Agus berkata, pendakwaan terhadap Azmi itu
boleh menjadikan rakan-rakan dalam dunia akademik takut untuk meluahkan
pandangan mereka dalam sesuatu isu.
“Apabila rakan akademik saya didakwa, saya menjadi takut untuk menulis.
Saya perlu takut kerana saya tidak mahu didakwa seperti beliau,” kata
Agus.
“Tetapi, sebagai guru politik apakah wajar jika saya mendiamkan diri
sahaja tanpa berkongsi idea dengan rakan-rakan yang lain jika saya
mempunyai idea dan pendapat politik yang hendak disampaikan?”
'Menegur demi yang terbaik'
Agus berkata, beliau tidak berdiam diri kerana ia “tidak adil” terhadap
amanah untuk menyampaikan ilmu dan memberi pandangan balas kepada isu
politik difikirkan perlu diperbetul.
“Bukan
untuk mencabar sesiapa atau membenci atau menyukai sesiapa, tetapi
untuk kita saling menegur bagi mendapatkan yang terbaik antara yang
baik,” katanya.
Mengulas perwatakan Azmi, beliau mengaku tidak mengenalinya secara rapat
tetapi pernah menemu bualnya sekali dalam rancangan bual bicara “Hujah”
di TV9, yang dikendalikannya sebelum ini.
Daripada pengamatannya, tambah Agus lagi, Azmi seorang yang tenang dan
mempunyai pandangan politik dan undang-undang yang jujur serta menulis
berdasarkan ilmunya.
“Jadi apabila beliau didakwa, saya berasa terkilan jika saya tidak menulis pandangan saya tentang beliau,” katanya.
Azmi sifatkan satu tamparan
Azmi sendiri menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai tamparan kepada kebebasan akademik dan kebebasan bersuara.
Ini kerana, katanya lagi, pandangannya dikeluarkan atas kedudukannya sebagai pensyarah undang-undang.
Ketika didakwa pagi tadi, kira-kira 100 orang, termasuk aktivis dan
mahasiswa, hadir menyatakan sokongan pada Azmi, sekali gus meluahkan
kebimbangan terhadap kebebasan di universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan