Rabu, 17 September 2014

Usaha KEADILAN bantu pelajar cemerlang berhasil, HEAP diteruskan

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Inisiatif KEADILAN membantu pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat untuk menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akhirnya membuahkan hasil.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, hampir 70 peratus daripada 256 pelajar cemerlang yang membuat aduan melalui laman web ‘Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP) kini mendapat tempat untuk menyambung pengajian.

heap“Kita dapat maklum balas baik dari program ini, maklum balas yang kita terima menunjukkan program ini berjaya.

“Perlu ingat, pendidikan tinggi itu penting, kita sediakan pelajar ini ruang untuk mengemukakan rayuan, kita juga tidak mahu mereka putus asa,” kata Sim yang juga Pengerusi HEAP ketika dihubungi.

Laman web yang dilancarkan KEADILAN pada 15 Ogos lalu bertujuan untuk membantu pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di IPTA dan juga pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus yang dipilih mereka.

Kes-kes tersebut akan dinilai oleh ahli-ahli panel HEAP sebelum dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU).

Ia terbuka kepada semua pelajar lepasan STPM/setaraf yang ingin mengadu kepada Ahli-ahli Parlimen KEADILAN.

Tinjauan di laman sosial mendapati, beberapa pelajar yang berjaya mendapat tempat untuk melanjutkan pelajaran melalui program berkenaan merakamkan penghargaan.

“Tuan, saya telah berjaya buat rayuan…belajar di UTeM (Universiti Teknikal Malaysia), Melaka.
“Saya hendak ucapkan terima kasih dengan segala ikhlas dari hati saya kerana tuan dan pihak HEAP serta kakitangan telah banyak bantu saya,” tulis seorang pelajar.

Mengulas lanjut, Sim berkata, program tersebut yang disifatkannya sebagai sangat berjaya akan diteruskan di masa akan datang sebagai sebahagian lagi langkah semak dan imbang dasar pendidikan tinggi oleh kerajaan.

Tiada ulasan: