Unit Amal Pas Unit Amal Pas
KOTA BHARU – Tindakan segelintir pihak yang menganggap Unit Amal Pas sebagai pertubuhan haram adalah tidak berasas kerana ia merupakan badan kebajikan yang menguruskan bantuan kemanusiaan di bawah Pemuda Pas.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, malah Unit Amal juga telah membuktikan pelbagai khidmat cemerlang dalam kerja-kerja kebajikan di seluruh negara sejak lebih 10 tahun lalu.

“Hujung tahun lepas, anggota Unit Amal Pemuda Pas yang bertungkus-lumus menghulurkan bantuan kepada lebih 200 keluarga polis yang terperangkap di perumahan polis Bukit Mentok, Kemaman akibat banjir,” katanya, semalam.

Menurutnya, Unit Amal juga sentiasa menyediakan khidmat cemerlang kepada semua pihak malah terkenal dengan gelaran wira tidak didendang, maka tidak tepat dakwaan mengatakan badan tersebut tidak berdaftar sebagaimana PPS Pulau Pinang.

Beliau juga memberitahu, untuk menyatakan solidariti sokongan terhadap badan itu, Pemuda Pas Kelantan akan memakai pakaian rasmi Unit Amal di Muktamar Pas, 16 September ini.

“Kami (Pemuda Pas Kelantan) akan menyatakan sokongan kami di Johor nanti, bagi saya tuduhan itu tidak berasas. Pemuda Pas adalah satu pertubuhan yang sah dan berhak menubuhkan unit-unitnya sendiri, kami akan membela habis-habisan mana-mana pemuda kami yang ditangkap atas keanggotaan mereka dalam Unit Amal,” katanya.

Susulan tindakan itu, semua peguam dari parti Pas kini bersiap sedia ke balai polis dan mahkamah bagi membela anggota Unit Amal jika mereka ditahan.