Ahad, 7 September 2014

Umno PP bantah swastakan pangkalan TUDM

MALAYSIAKINI


Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang mahu kerajaan persekutuan memperincikan cadangan penswastaan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, bagi tujuan pembangunan, yang dilihat akan menguntungkan pihak swasta dan menolak kepentingan rakyat.

Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Osman (bawah) berkata, selain mengambil kira faktor kepentingan rakyat, bantahan terhadap cadangan itu juga mengambil kira faktor geopolitik, alam sekitar, kawasan setempat dan aspek keselamatan serta pertahanan.

"Usul ini dibawakan oleh semua Umno bahagian di Pulau Pinang, jadi saya berharap pihak pucuk pimpinan dan kerajaan persekutuan akan melihat usul ini dengan teliti dan melihat apa yang tersirat daripada usul yang kita suratkan.

"Pembangunan TUDM adalah simbol yang boleh dilihat sebagai menghakis kekuasaan Umno di negeri Pulau Pinang khususnya di kawasan kubu kuat di Kepala Batas dan Tasek Gelugor...jadi ini kita akan pertahankan habis-habisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Nibong Tebal di Nobong Tebal hari ini.

Pangkalan TUDM seluas 400 hektar itu merupakan pangkalan utama di utara tanah

air
dan diwujudkan sejak 1941 selain pangkalan di Kuantan, Pahang.

Kawasan itu akan dibangunkan sebagai Pusat Kesenian dan Riadah dan telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk penempatan dan pembinaan semula pangkalan TUDM yang baharu di negeri ini melalui pertukaran tanah.

Projek itu akan dibangunkan melalui syarikat usaha sama antara TSR Capital Bhd (51 peratus), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (30 peratus) dan Pembinaan Bukit Timah Sdn Bhd (19 peratus).

Zainal Abidin berkata pertemuan dua kali bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu berkenaan mendapat reaksi yang positif.

"Perdana menteri menyatakan beliau akan pertimbangkan sehalus-halusnya dengan mengambil kira kepentingan rakyat, beliau (perdana menteri) memberi harapan yang positif bahawa projek ini tidak akan diteruskan, tetapi tunggulah pengumuman rasmi pada masa akan datang," katanya.

Zainal Abidin berkata bantahan cadangan pembangunan TUDM itu tidak bermakna bahawa Umno Pulau Pinang menolak pembangunan sebaliknya jika mahu melaksanakan pembangunan ia harus menjaga kepentingan masyarakat setempat.

Katanya selain bantahan pembangunan di TUDM, usul lain yang dibawa oleh perwakilan Umno Bahagian Nibong Tebal ialah usul pendakwaan terpilih, kawalan terhadap media sosial dan mempertahankan Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). - Bernama

Tiada ulasan: