Selasa, 2 September 2014

Tangkap Unit Amal, PAS Desak Zahid Minta Maaf

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kayat menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf kerana melabelkan Unit Amal PAS sebagai jabatan keselamatan tidak berdaftar.

Menurut Suhaizan, Unit Amal PAS adalah badan kebajikan di bawah Pemuda PAS yang menguruskan kebajikan dan bantuan kemanusiaan termasuk banjir dan kebakaran.

"Kalau buat demonstrasi, itu maknanya adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Perlembagaan, jadi kita jaga kebajikan orang yang nak buat demonstrasi.

"Begitu juga semasa ceramah PAS, apabila kita menjaga kawalan keselamatan dan lalu lintas," kata Suhaizan kepada The Malaysian Insider.‎
Katanya, Zahid perlu meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya terhadap Jabatan Amal yang beroperasi sejak 20 tahun lalu.

"Saya tak nampak kenapa kerajaan mahu ambil tindakan. Selama tempoh Jabatan Amal bertugas lebih 20 tahun dan adakalanya bekerjasama dengan pihak polis dan agensi kerajaan, tiba-tiba hari ini mahu dipersalahkan," katanya.

Ekoran penahanan beramai-ramai anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang semalam, Zahid hari ini memberi amaran akan mengambil tindakan serupa ke atas Unit Amal PAS.

Beliau berkata polis hanya menunggu masa sebelum bertindak terhadap Unit Amal PAS.

"Tindakan yang sama juga akan diambil pihak polis. Saya sangat yakin mereka akan diambil tindakan," kata Zahid.

Suhaizan berkata pihaknya tidak akan teragak-agak membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya Zahid dan polis masih mahu meneruskan niat menahan Unit Amal.

"Kita jumpa di mahkamah," katanya.

Seramai 154 anggota PPS ditahan pagi semalam selepas menyertai perarakan hari kemerdekaan peringkat negeri di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh turut ditahan polis pada sebelah petang kerana pernah mengaku bertanggungjawab sepenuhnya ke atas PPS.

Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) RSN Rayer diarahkan hadir di balai polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, semua anggota PPS termasuk tujuh wanita ditahan pada 10.15 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Zahid dalam majlis sama berkata, pihak berkuasa menerima banyak laporan anggota PPS bertindak di luar undang-undang dan mengugut orang ramai, termasuk mengeluarkan kata-kata kesat seolah-olah mereka menjalankan kerja penguatkuasaan, bukannya menjaga keamanan.

Katanya, Lim sebelum ini meminta polis dan kementeriannya meluluskan permohonan kerajaan negeri meletakkan polis bantuan di majlis perbandaran.

"Pada masa sama, kami terima maklumat ada sesuatu yang tidak kena dengan permintaan itu, jadi kami tidak meluluskannya. Saya tidak boleh berikan butiran lanjutnya," katanya.

Tiada ulasan: