Jumaat, 12 September 2014

Suspek Bocor Kertas Soalan UPSR Dikenal Pasti - Idris Jusoh

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, calon UPSR terpaksa menduduki semula kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini.
 
 
 
PUTRAJAYA: Beberapa suspek yang terlibat membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah dikenal pasti, kata Menteri Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, ia berdasarkan hasil siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Idris berkata, hasil siasatan turut mengesan empat lokasi panas (hotspot) dipercayai terbabit dengan kes pembocoran kertas soalan UPSR.

"Beberapa individu telah dikenal pasti dan kini sedang disiasat oleh polis," katanya pada sidang media di Lembaga Peperiksaan Malaysia di sini, Jumaat.

Ditanya mengenai empat hotspot itu, Idris enggan mendedahkannya kerana ia hanya akan mengganggu siasatam.

"Saya juga tidak boleh beritahu kawasan, negeri mana dan individu tersebut," katanya.

Kertas soalan UPSR Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dan kertas bagi subjek Sains 018, 028 dan 038 disahkan berlaku kebocoran.

Lembaga Peperiksaan Malaysia pada Khamis mengumumkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kertas berkenaan.

Sementara itu, Idris berkata, beliau memohon maaf berhubung insiden yang berlaku dan melakukan yang sebaik-baiknya dalam pengendalian dan pengurusan peperiksaan berkenaan.

"Kita telah mengambil sebaik-baik cara dan gerak kerja untuk pastikan tiada kebocoran tetapi masih berlaku," katanya sambil menambah bahawa Kementerian Pendidikan satu jawatankuasa bebas yang terdiri daripada individu berprofil tinggi bagi meneliti semula dan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam.

Tiada ulasan: