Khamis, 4 September 2014

Spekulasi 3 calon PAS tegangkan lagi krisis MB

MALAYSIAKINI


 


Krisis pentadbiran negeri Selangor terus menambah ketegangan antara komponen Pakatan Rakyat dan menimbulkan pelbagai spekulasi.

Terbaru timbul isu berkenaan tiga nama calon menteri besar yang dihantar oleh PAS kepada Sultan Selangor semalam semuanya merupakan ADUN PAS.

Sebuah portal melaporkan hari ini satu sumber rapat dengan PAS Selangor menghantar nama tiga exco PAS iaitu Iskandar Ab Samad, Sallehin Mukhyi dan Ahmad Yunus Hairi.

Ini bertentangan dengan pendirian PAS pada 17 Ogos lalu yang membuat keputusan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan menamakan Timbalannya Azmin Ali sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun titah sultan sebelum ini mahukan lebih dua nama calon menteri besar dari setiap parti Pakatan Rakyat.

Insiden ini menimbulkan kemungkinan PAS telah bersedia untuk meninggalkan PKR dan DAP yang sebelum ini sepakat memberi kerusi menteri besar kepada PKR.

Laporan ini turut menyebabkan beberapa pemimpin Pakatan terkejut dan menafikannya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad yang menjelaskan kepada Malaysiakini pihaknya tidak pernah menghantar sebarang nama sebagai calon menteri besar.

"Saya tidak tahu langsung tentang perkembangan ini. Saya hanya dapat tahu melalui berita di dlm internet.

"Pas Selangor tidak pernah menghantar sebarang nama utk calon MB," kata beliau kepada Malaysiakini.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa terkejutnya di laman sosial

Twitter
.

"Ia berita kepada kita juga. Harus anggap ia tidak benar," kata beliau di laman Twitternya.

Seorang pemimpin PAS kanan bagaimanapun mengakui terdapat cadangan sedemikian tetapi telah pun ditolak kepimpinan tertinggi parti.

"Tak betul (laporan itu), (cadangan) sudah dibatalkan," kata beliau kepada Malaysiakini.

Sementara itu Sumber yang rapat dengan Azmin menyatakan tiga nama yang dihantar oleh PAS ialah Wan Azizah, Azmin sendiri dan Iskandar.

Bagaimanapun beliau tidak tahu mengenai sebarang nama lain yang dicadangkan oleh PAS.

"Apa yang kami tahu, ketiga-tiga nama ini yang dihantar," kata beliau kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: