Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam
 
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah melakukan penambahbaikan sistem yang digunakan bagi peperiksaan secara dalam talian atau online yang mengalami masalah baru-baru ini.
 
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, penambahbaikan dilakukan dari segi peningkatan server dan aplikasi bersama-sama dua syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Jaring Communications Sdn Bhd dan Syarikat Novatis Resources Sdn Bhd.
 
Penambahbaikan itu dilakukan dengan mengambil kira aduan serta pandangan yang dikemukakan bagi tujuan peperiksaan ulangan yang telah diadakan dan pada masa akan datang, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam supaya SPA memperbaiki pelaksanaan kaedah peperiksaan dalam taliannya.
 
Ia susulan masalah teknikal yang berlaku semasa peperiksaan online bagi jawatan Penguasa Kastam Gred W41 pada Sabtu lalu, sehingga menjejaskan sebahagian calon, dan menyebabkan peperiksaan ulangan diadakan pada malam Rabu.
 
Mahmood berkata, SPA juga telah mengemukakan laporan penuh berhubung pelaksanaan kedua-dua peperiksaan itu kepada Ketua Setiausaha Negara.
 
Dalam pada itu, katanya seramai 30,487 daripada 84,856 calon yang menduduki peperiksaan itu telah diperakukan lulus bagi tujuan panggilan temu duga. - Bernama