Ahad, 14 September 2014

Sampai bila asyik P Ramlee, tiada seniman lain?

Oleh RAYUSA 


RTM menerusi saluran TV1 dengan kerjasama Suhan Movies & Trading Sdn Bhd (SMTSB) dan akhbar Utusan Malaysia menganjurkan pertandingan penghasilan telefilem terbaik dalam kalangan pengarah berwibawa dan ternama tanah air, iaitu Tribute P Ramlee.

Program yang mengangkat martabat drama Melayu ke satu tahap dan kualiti tersendiri itu merupakan acara tahunan mulai tahun lalu. Pada tahun ini, Tribute P Ramlee Musim Kedua adalah antara usaha RTM untuk ‘Menjenamakan TV1’.

Pertandingan tersebut menampilkan idea penulis, daya kreatif pengarah serta gabungan lakonan mantap ramai pelakon terkenal dan handalan negara.

Kolaborasi tersebut menjadikan Tribute P Ramlee sebagai sesuatu yang dapat meninggalkan kesan positif kepada industri berkaitan.

Pada tahun ini, 13 telefilem bertanding, termasuk dua telefilem terbitan Unit Drama RTM yang turut berentap merebut Anugerah Telefilem Terbaik Anugerah Tribute P Ramlee yang akan berlangsung pada Februari tahun depan. Pada tahun ini, telefilem yang bertanding berdasarkan lagu ciptaan dan nyanyian P Ramlee.

Semuanya ditayangkan menerusi TV1 pada setiap Ahad jam 10 malam selama kira-kira tiga bulan, mulai 21 September hingga 21 Disember depan.

Telefilem tersebut adalah Kalau Itu Takdirnya, arahan Amie Maziah lakonan Zahiril Adzim dan Shera Ayob daripada lagu ‘Di Mana Kan Ku Cari Ganti’ pada 21 September, Cinta Kedua (‘Bila Mama Pakai Celana’/Eirma Fatima/Dato’ Rahim Razali, Azizah Mahzan/28 September), Seteguh Kasih Ibunda (‘Ibu’/ Osman Ali/Fauziah Ahmad Daud. Izara Aisyah/5 Oktober), Nak Kahwin Lagi (‘Madu Tiga’/Nizam Zakaria/Norman Hakim, Didie Alias/19 Oktober), Mengapa Ku Diseksa (‘Ingin Tahu’/Zul Huzaimy Marzuki/Zul Huzaimy Marzuki, Linda Rafar/26 Oktober), dan Apabila Kau Tersenyum (‘Apabila Kau Tersenyum’/Kamaruddin Ambak/Arjaa Lee, Elly Mazlein/2 November).

Seterusnya, Menunggu Hujan Teduh (‘Tunggu Sekejap’/Isma Yussof/Zaidi Omar, Fatimah Abu Bakar/9 November), Kasih Antara Kita (‘Sedangkan Lidah Lagi Tergigit’ Ismail Yaacob/ Fauziah Ghous, Kamal Adli/16 November), Apa Guna Berjanji (‘Apa Guna Berjanji’/Datin Paduka Shuahimi Baba/Zizan Nin, Niezam Khuzaimi/23 November), Mahabbah Rindu (‘Azizah’/Badar Azmi/Nazim Othman, Intan Ladyana/30 November), Jeritan Batinku (‘Jeritan Batinku’/Michael Ang/ Amar Asyraf, Erin Malik/7 Disember), Demi Waktu Mahani (‘Tiada Kata Secantik Bahasa’/ Fahmi Sarindi/Fadzley Ali, Azam Pitt/14 Disember), dan Kau Laksana Bulan (‘Kau Laksana Bulan’/Eirma Fatima/ Nadiya Nisaa, Shukri Yahya/21 Disember).

Apabila Kau Tersenyum dan Demi Waktu Mahani merupakan telefilem terbitan Unit Drama RTM.
Sementara itu, Konsert Tribute P Ramlee disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada 14 September di Auditorium Perdana, Angkasapuri dan Pertandingan Bintang P Ramlee pula pada 9 Oktober dari Kuching, Sarawak.

Namun, selain usaha mengadaptasi daripada lagu dan memberi peluang kerja kepada pengarah, pelakon dan tenaga produksi, tiada yang benarbenar mengagumkan mengenai program tersebut.
Kesinambungannya seolaholah menunjukkan SMTSB dan RTM hanya tahu P Ramlee sahaja – seolah-olah tiada tokoh perfileman dan seni suara tanah air lain yang boleh diangkat sama.
Sudahlah sejak tahun - tidak ingat bila, RTM menerusi TV2 terus menayangkan filem lakonan/arahan P Ramlee – berulang-ulang sekitar 62 filem tidak jemu-jemu!

Mengenai persoalan ‘tidak habis-habis dengan P Ramlee’ yang dibangkitkan oleh seorang wartawan semasa sidang media Tribute P Ramlee Musim Kedua, 27 Ogos lalu di Restoran Berputar, Menara Kuala Lumpur, Pengarah Urusan SMTSB, Dato’ Mohd Noor Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor menjawab, kisah yang dipaparkan menerusi telefilem berkenaan turut mencari legenda seni selain anak kelahiran Pulau Pinang tersebut.

Itu juga sekali gus menjawab – seperti yang diakui oleh Rosyam – bahawa SMTSB tidak mungkin akan menganjurkan Tribute Nordin Ahmad, Tribute Jins Shamsudin, Tribute Ahmad Mahmood, Tribute S Kadarisman, dan lain-lain.

Bagaimanapun, saya fikir jawapan itu sekadar menutup kecenderungan mengangkat P Ramlee semata-mata. Ia juga ekoran masyarakat yang terlalu menyanjung Seniman Agung tersebut (meskipun pada penghujung usianya anak kelahiran Pulau Pinang itu telah dicemuh).

Rosyam juga tidak memberi jawapan yang jelas mengenai sehingga bila Tribute P Ramlee akan dianjurkan. Bagi saya, jika program itu mahu diteruskan selagi termampu, elok berikan tempoh lima tahun misalnya, untuk P Ramlee. Selepas itu, berikan pula penghargaan kepada Dato’ Aziz Sattar, Tan Sri Jins Shamsuddin, Dato’ Ahmad Mahmood, Nordin Ahmad dan tokoh lain – juga masing-masing selama lima tahun.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Ni memang sah kau ni cucu cicit yang pernah jatuhkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee waktu dia masih hidup dulu.. Cukup2 la hina Tan Sri P Ramlee, dia dah takde pun... Kalau RTM nak agung2kan dan buat tribute utk P Ramlee pun memang tak padan dengan dosa yang RTM buat waktu Tan Sri P Ramlee masih hidup dulu...

Unknown berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.