Isnin, 15 September 2014

Royalti: Kempen Muhyiddin bernada sumbang

ASLANI M 



 


TUMPAT: Kempen Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pengkalan Kubor agak sumbang apabila cabarannya mahu kerajaan PAS menyiasat jumlah royalti yang belum dijelaskan kerajaan pusat dijawab segera pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri mungkin lupa pada 26 April lalu Mahkamah Rayuan menolak rayuan kerajaan Kelantan agar dibekalkan dokumen-dokumen tertentu milik Petronas yang mempunyai kaitan dengan tuntutan royalti.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ketika PAS mentadbir Terengganu pada 1999 Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengakui royalti petroleum milik Terengganu.

“Perkara itu dijelaskan Perdana Menteri pada pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri. Saya dan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir pada mesyuarat terbabit.

“Namun Kerajaan Pusat mengkhianati Kelantan apabila menafikan hak royalti seperti yang diberi kepada Terengganu,” katanya pada ceramah di Kampung Geting malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud.

Selain itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, Dr Ramli Mamat dan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad.

Ceramah tersebut mendapat sambutan penduduk tempatan sehingga ramai duduk di sepanjang jalan bagi mengikutnya.

Hujah Muhyiddin juga cuba dipertahankan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila turut mencabar kerajaan negeri mengemukakan bukti berhubung tuntutan royalti petroleum.

Menurutnya pada ceramah di Kampung Tebing malam tadi, fakta yang dikemukakan PAS fitnah semata-mata dan tuntutan yang dibuat tidak berlandaskan undang-undang.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, Akta Petroleum diwujudkan pada 1974 antara lain bagi merangka perjanjian dengan negeri-negeri di Malaysia.

Kata beliau, minyak dan gas mula-mula dijumpai di perairan Sabah dan Sarawak.

“Akta Petroleum dirangka Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas sehingga membawa kepada rundingan dengan Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Nassurudin pula mempersoal mengapa royalti yang dibayar kepada kerajaan Terengganu tiba-tiba disekat selepas negeri itu ditadbir PAS pada 1999.

“Dan apabila BN kembali memerintah Terengganu royalti dibayar semula. Penafian macam inilah yang menyebabkan penduduk termasuk di Pengkalan Kubor terus dihimpit kesusahan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: