Selasa, 16 September 2014

PRK Pengkalan Kubor: Majikan diminta beri pelepasan kepada pengundi pulang

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
  
 
 
TUMPAT:  Kerajaan Kelantan meminta majikan pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di luar Kelantan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk pulang mengundi pada 25 September ini.
 
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kebenaran daripada majikan adalah penting kerana hari mengundi pada Khamis itu adalah hari bekerja di negeri lain.
 
"Di Kelantan tidak ada masalah kerana semalam, kerajaan negeri telah mengumumkan cuti peristiwa pada 25 September ini sempena PRK itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
 
Katanya, pelepasan majikan itu dapat meningkatkan peratusan orang keluar mengundi dan menyuburkan lagi sistem demokrasi negara ini.
 
Terdapat 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang terletak dalam kawasan Tumpat. Daripada jumlah itu lebih 1,700 pengundi berada di luar kawasan DUN berkenaan.
 
PRK DUN Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
 
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.
 
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.

Tiada ulasan: