Jumaat, 5 September 2014

Polis jangan bazir masa, buka semula kes Beng Hock

Oleh V Anbalagan, Penolong Pengarang Berita


Teoh Lee Lan (kanan) gesa polis buka semula siasatan kes abangnya mendiang Beng Hock. Gambar fail The Malaysian Insider.
Teoh Lee Lan (kanan) gesa polis buka semula siasatan kes abangnya mendiang Beng Hock. Gambar fail The Malaysian Insider.
 
Adik perempuan kepada mendiang Teoh Beng Hock berkata polis mesti tanpa berlengah lagi perlu membuka semula kes siasatan abangnya, susulan keputusan Mahkamah Rayuan, hari ini. Lee Lan berkata, keputusan mahkamah itu jelas menunjukkan kepada ketua polis negara, ada kemungkinan berlaku kebersalahan jenayah dalam kes itu.

“Abang saya dibunuh, hanya siapa penjenayah itu masih belum diketahui,” katanya penuh emosi kepada media selepas keluar dari mahkamah di Putrajaya, hari ini.

Katanya, keputusan itu adalah kemenangan kecil terhadap keadilan untuk mereka walaupun ia diperolehi selepas 5 tahun kematian Beng Hock.

“Berbaloi kami menunggu untuk mendengar keputusan ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibuat kepada ibu bapanya tidak ada apa yang akan disembunyikan jika ada bukti cukup untuk membawa pelaku dalam kes Teoh ke muka pengadilan.

Najib bertemu ibu bapa mendiang selepas beliau menjadi perdana menteri pada 2009.

 Lee Lan berkata, keluarganya akan memberi tempoh masa yang munasabah kepada polis untuk memulakan siasatan mereka tetapi akan mengambil tindakan sewajarnya jika polis terus berdolak-dalih.

“Kita akan bertindak mengikut undang-undang seperti mengadakan forum dan bantahan,” kata juruaudit berusia 34 tahun itu.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga itu, berkata tiga asas bertulis adalah testimoni wujud perbuatan khianat dalam kematian Teoh.

 “Mahkamah mengambil masa yang lama sehingga 5 tahun untuk akhirnya membuat keputusan kematian mendiang bukan disebabkan bunuh duru atau kematian secara kemalangan,” kata Gobind yang juga ahli Parlimen Puchong.

 Beliau berkata, keputusan hari ini merendahkan standard bukti dalam inkuiri itu dan jelas menyatakan peranan koroner ialah mengumpul bukti bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut.

“Ini adalah penting terutama bagi kes mati dalam tahanan,” katanya.

Dalam kes itu, Gobind memberitahu hakim ada banyak bukti untuk menyokong dapatan kematian Teoh adalah konsisten dengan pembunuhan.

Katanya, ada bukti yang boleh dipercayai menunjukkan ada kecederaan sebelum jatuh pada leher Teoh. Beliau berkata, bukti pakar juga menunjukkan ada kesan lebam pada bahagian kiri leher mangsa menandakan ada tekanan dikenakan pada lehernya.

 Gobind berkata, beliau berharap kerajaan akan mengalah terhadap tuntutan sivil yang difailkan keluarga Teoh.

“Keputusan hari ini jelas menunjukkan SPRM bertanggungjawab dan kerajaan patut bayar ganti rugi,” katanya.

Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar tuntutan itu pada November. Bapa mendiang, Leong Hwee dan ibunya Teng Shuw Hoi, balunya Soh Cher Wei dan anak mereka Er Jia memfailkan tuntutan terpinda terhadap SPRM dan 12 yang lain.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pihak plaintif mendakwa, SPRM dengan salah menyerang, menyebabkan ketakutan dan tekanan melampau kepada mendiang.

 Oleh itu, pihak plaintif menuntut ganti rugi bagi kehilangan kebergantungan, kesedihan dan kecuaian selain kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Setakat ini, 13 saksi sudah memberi keterangan. Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low patut meminta maaf secara kepada rakyat dan keluarga Teoh kerana sebelum ini beliau berkata siasatan dalaman SPRM mendapati semua pegawai yang menyiasat mangsa tidak terbabit dalam kematian mendiang.

 “Jelas ia ditutup dan Low patut mengaku,” katanya. Teo berkata, polis patut menarik balik siasatan kes hasutan terhadap Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang secara umum berkata kematian Teoh disebabkan perbuatan khianat.

“Keputusan mahkamah membuktikan Kit Siang betul,” katanya.

Tiada ulasan: