Sabtu, 6 September 2014

Polis harus mohon maaf pada wartawan Mkini, kata NUJ

MALAYSIAKINI


 


Polis harus memohon maaf kepada wartawan Malaysiakini,  Susan Loone kerana menahan beliau di bawah Akta Hasutan semalam, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) petang ini.

"Walaupun pihak polis mempunyai hak untuk menyoal siasat sesiapa saja melalui aduan yang dibuat oleh NGO tertentu, tetapi kami amat merasakan bahawa Akta Hasutan telah salah digunakan dalam kes Susan dan polis harus mengeluarkan permohonan maaf kepada beliau untuk trauma dan kesulitan yang dialaminya dan keluarganya.

Menyalahgunakan undang-undang dengan menakut-nakutkan media tidak boleh diterima oleh media tempatan atau disokong oleh orang ramai, kata Presiden NUJ Chin Sung Chew (kiri) dalam satu kenyataan.

Beliau berkata NUJ akan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai perkara itu.

Beliau berkata NUJ percaya bahawa penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat seseorang wartawan adalah satu cara untuk menakut-nakutkan wartawan dan mengganggu kebebasan akhbar, dan tidak memberikan petanda yang baik mengenai janji kerajaan terhadap media yang bebas.

Katanya, NUJ percaya bahawa semua wartawan mempunyai hak untuk menemubual sesiapa saja untuk berkongsi pandangan dalam kes yang membabit kepentingan awam, untuk menyampaikan pendapat awam dan bahawa wartawan melaporkan apa yang diberikan oleh orang yang ditemubual dan bukan komen mereka sendiri.

Sehubungan itu, Chin menambah bahawa Loone hanya menjalankan tugasnya.

Semalam, Loone telah ditahan dan disoal selama lebih sembilan jam berhubung temubualnya dengan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Ini berikutan 10 laporan yang dibuat pada hari Selasa oleh PERKASA dan 13 NGO yang lain yang mendakwa Susan dan Malaysiakini telah memfitnah polis dalam artikel hasil temubual itu.

Dalam temubual itu, Phee mendakwa telah disoal siasat selama empat jam dan mendakwa dilayan seperti seorang 'penjenayah' semasa dalam tahanan polis, selepas beliau ditahan berhubung siasatan terhadap Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS).

Kebimbangan 'campur tangan politik'

Sementara itu, Gerakan Media Marah melahirkan kebimbangannya mengenai kemungkinan campur tangan politik dalam penahanan Susan Loone.

Kejadian itu, katanya, dilihat sebagai ulangan kes penahanan wartawan Sin Chew, Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 12 September 2008.

Dalam satu kenyataan berasingan hari ini, ia berkata, kerajaan pada masa itu telah memberikan alasan yang tidak logik - 'untuk melindungi keselamatan wartawan itu' - dengan menahan beliau.

Sehubungan, ia bertanya, adakah alasan yang sama juga akan digunakan semula dalam kes Susan.

Sementara itu, Badan Wartawan Malaysia (IOJ) percaya bahawa penahanan Susan adalah tidak berasas dan menyeru kerajaan supaya menghentikan tindakan di bawah Akta Hasutan terhadap Susan dan Malaysiakini.

IOJ berkata adalah hak semua wartawan untuk melaporkan berita untuk kepentingan umum secara seimbang, tepat dan tidak berpihak, sambil menegaskan bahawa kesahihan laporan Susan itu tidak pernah dipertikaikan.

"Kami percaya penahanan tersebut adalah tidak berasas dan laporan yang ditulis juga tidak dalam apa-apa bentuk berunsur hasutan, berdasarkan pengertian lazim 'merendahkan pihak berkuasa'," katanya.

Di Filipina, NUJ Filipina pula berkata aduan dibuat terhadap Susan dan Malaysiakini adalah "remeh" dan menggesa supaya siasatan dihentikan.

Tiada ulasan: