Rabu, 3 September 2014

Polis diminta kemuka bukti 11 anggota PPS ada rekod jenayah

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu polis mengemukakan pengesahan berhubung dakwaan bahawa 11 daripada 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan Ahad lalu mempunyai rekod jenayah. 
 
Malah menurut beliau, kerajaan negeri juga berusaha untuk mengesahkan sama ada terdapat laporan polis atau dakwaan terhadap 11 anggota itu ketika mereka melaksanakan peranan secara sukarela dalam PPS. 
 
"Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menegaskan bahawa tiada anggota PPS akan dilindungi jika mereka melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar undang-undang melainkan tertakluk penuh kepada undang-undang.
 
"Penduduk Pulau Pinang boleh membuktikan kerja baik yang telah dilakukan PPS khususnya membantu orang ramai dan polis untuk menjalankan kerja sukarela polis komuniti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
 
Beliau berkata kerajaan negeri mengulangi sekali lagi bahawa PPS tidak pernah menerima apa-apa aduan bertulis daripada polis. 
 
Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata 11 daripada 156 anggota PPS Pulau Pinang yang ditahan Ahad lalu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau iaitu ugutan, samun,curi, membunuh tanpa niat, kesalahan mengikut Akta Kastam dan menjadi anggota kongsi gelap. 
 
Lim berkata, sekiranya ada sebarang aduan, ia seharusnya dimaklumkan oleh polis kepada anggota exco negeri yang juga Pengerusi PPS Phee Boon Poh atau beliau sendiri. 
 
Lim dalam kenyataan itu juga berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu sedar bahawa beliau (Khalid) bukan 'maksum' hingga tidak boleh dikritik. 
 
Beliau berkata Khalid tidak boleh menyalahgunakan undang-undang jenayah atau undang-undang punitif bagi mengelak kritikan terhadap dirinya.

Tiada ulasan: