Rabu, 3 September 2014

PKR tetap calonkan satu nama sahaja


Dr Wan Azizah Wan Ismail Dr Wan Azizah Wan Ismail
 
 
 
SHAH ALAM - PKR yang bermesyuarat semalam berpegang teguh dengan keputusan sebelum ini untuk menamakan seorang sahaja calon bagi jawatan Menteri Besar Selangor.
 
Menerusi satu kenyataan pagi ini, parti itu mengesahkan hanya mencalonkan nama Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal PKR.
 
"Majlis Pimpinan Pusat menegaskan sekali lagi keputusan yang telah dibuat pada 21 Julai 2014 yang bersetuju sebulat suara mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor," tulis kenyataan media itu yang memetik Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
 
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah minggu lalu meminta parti-parti dalam PR memberikan lebih dua nama supaya baginda boleh membuat pilihan bagi mencari pengganti jawatan tersebut.
 
Tarikh akhir untuk PR mengutus senarai calon mereka kepada istana adalah hari ini.
 
Sebuah portal melaporkan, PKR dan DAP sudahpun menyerahkan nama calon mereka semalam, sementara Pas dilaporkan bakal berbuat demikian hari ini. 
 
Memetik laporan tersebut, Ketua DAP Selangor, Tony Pua memaklumkan parti itu juga hanya menghantar nama Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
Sementara itu, Saifuddin dalam kenyatan media sama memaklumkan, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat juga menerima cadangan PKR Kelantan untuk kekal bertanding di PRK Pengkalan Kubor. 
 
"Cadangan ini akan dibincangkan oleh PKR dengan Pas dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan keputusannya," ujar beliau.

Tiada ulasan: