Rabu, 10 September 2014

PKR enggan buka mulut, akur titah sultan atau tetap calonkan Azizah

Oleh Shuhainiza Said
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: PKR enggan membuka mulut berhubung senarai nama calon Menteri Besar Selangor, samaada akur pada titah Sultan Selangor yang mahukan lebih dua nama atau tetap hanya menamakan calon tunggal mereka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Kesemua pimpinan tertinggi termasuk Azizah; Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution yang ditemui selepas mesyuarat biro politik malam tadi enggan mengulas lanjut berhubung perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
 
Azizah yang juga Presiden PKR, hanya mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada pihak istana pada Selasa sebagai maklum balas kepada surat istana yang dihantar 3 September lalu.
 
"Kita hantar surat kepada tuanku memohon ampun dan maaf, merafak sembah dan itu satu amalan biasa (untuk jawab surat baginda).
 
"Itu untuk pihak baginda lihat," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat biro politik, di sini, semalam.
 
Saifuddin mengesahkan perkara itu namun memberitahu beliau langsung tidak mengetahui butiran dan kandungan surat yang dihantar Azizah kepada istana.
 
"Surat la, respon kepada istana.. Tadi hantar.. Presiden yang tanda tangan. Saya pun tak tahu kandungan surat itu.
 
"Saya tahu surat dihantar siang tadi. Dalam mesyuarat tadi presiden maklumkan surat telah dihantar, dan istana cop mengesahkan terima," katanya kepada pemberita.
 
Pihak istana pada 3 September lalu telah menghantar satu surat 'peringatan' kepada PKR disebabkan kedegilan parti itu yang tetap menamakan Azizah sebagai calon menteri besar, walaupun dititah untuk menghantar lebih daripada dua nama untuk penilaian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Berikutan mendapat surat amaran tersebut, PKR pada malam hari yang sama mengadakan sidang media dan memaklumkan akan membincangkan perkara tersebut serta berjanji akan memberi respon kepada pihak istana dalam tempoh 48 jam.
 
Bagaimanapun PKR hanya membalas surat istana tersebut semalam.
 

Tiada ulasan: