Sabtu, 6 September 2014

PKR Dakwa Saifuddin Tidak Keluarkan Kenyataan Tiga Calon MB

MSTAR ONLINE


 
 
 
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tidak mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu telah menghantar tiga nama sebagai calon menteri besar Selangor.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Fahmi Fadzil berkata, setelah membuat pengesahan, pihaknya mendapati dakwaan rencana Akhbar The Star dan portal berita mStar Online bertajuk "Isu MB: PKR Akhirnya Hantar Tiga Nama dan "PKR finally agrees to nominate three candidates for MB" bukan daripada sumber yang benar.

"Setelah mendapat pengesahan daripada Datuk Saifuddin Nasution, didapati bahawa rencana mStar Online dan The Star telah memetik sumber yang menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan jumlah nama calon menteri besar Selangor yang akan dihantar PKR kepada Istana Selangor.

"Rencana-rencana tersebut turut cuba menimbulkan persepsi bahawa setiausaha agung mengesahkan maklumat jumlah calon seperti yang disebut "sumber" wartawan mStar Online dan The Star.

"Ini tidak sepatutnya dilakukan kerana Datuk Setiausaha Agung tidak menjawab soalan mengenai isu jumlah nama calon," dakwanya dalam kenyataan pada Sabtu.

The Star dan mStar Online pada Sabtu melaporkan bahawa PKR akhirnya menamakan tiga calon bagi jawatan menteri besar Selangor selepas beberapa minggu mempertahankan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal.

Selain Dr Wan Azizah, dua lagi calon yang dinamakan adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Dr Idris Ahmad.

Namun, dalam surat yang dihantar ke Istana Selangor pada Jumaat, PKR mendakwa Dr Wan Azizah seharusnya dilantik kerana beliau mendapat sokongan majoriti Adun.

Bagaimanapun kedua-dua laporan itu hanya memetik Saifuddin sebagai mengesahkan kata sepakat telah diperolehi tanpa mendedahkan isi surat mahupun jumlah calon.

Rencana tersebut boleh didapati di:  http://www.mstar.
com
.my/berita/berita-semasa/2014/09/06/pkr-kemuka-tiga-nama/

Tiada ulasan: