Ahad, 14 September 2014

Permohonan fidlot di Pdg Besar akan dipertimbang

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menimbang permohonan mana-mana pihak untuk memajukan ternakan fidlot di Padang Besar, kata menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Padang Besar dan Kedah yang bersempadan dengan Thailand paling sesuai dijadikan pusat kuarantin atau ternakan lembu dan kerbau yang diimport secara fidlot dari negara jiran itu.

"Perlis dan Kedah paling ideal melaksanakan projek ini berbanding tempat lain kerana kerajaan menggalakkan pengimportan lembu dari negara-negara Asia Tenggara seperti Myanmar dan Kemboja selain Thailand.

"Kerajaan tidak mahu bergantung kepada satu atau dua negara sahaja untuk bekalan daging agar tidak menghadapi masalah kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Padang Besar, hari ini.

Ismail Sabri (atas) berkata keputusan Australia menetapkan syarat penyembelihan ketat terhadap lembu yang diimport dari negara itu menimbulkan banyak masalah dan jumlah terbesar daging lembu diimport ialah dari Australia.

Ketua Umno Bahagian Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam ucapannya pada majlis tersebut sebelum itu meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya memberi keutamaan untuk menjadikan Padang Besar sebagai pusat kuarantin atau fidlot nasional.

Ismail Sabri berkata pengimportan lembu, kambing, ayam dan khinzir tidak lagi memerlukan permit import (AP) kerana telah diliberalisasikan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata bagi jenis tumbuhan hanya kopi, kobis dan kelapa yang memerlukan AP.

"Sesiapa sahaja yang berkemampuan atau ada hubungan boleh mengimport terus haiwan tersebut atau sayur dari mana-mana negara selain tiga jenis itu yang masih perlukan AP," tambahnya.

Ismail Sabri berkata 11 pusat kuarantin yang ada di Perlis mampu menampung lembu-lembu yang diimport melalui sempadan Malaysia/Thailand di Perlis ataupun Kedah.

Malaysia mengimport kira-kira 70 peratus daging dan 30 peratus sahaja yang dikeluarkan dalam negara untuk memenuhi keperluan tempatan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: