Isnin, 15 September 2014

‘Perang’ tol Malaysia-Singapura beri kesan buruk kepada ekonomi

tambak_johor

Roketkini.com


PAGOH, : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa segera menunjukkan kepimpinannya dan bersuara bagi menyelesaikan masalah berikutan kenaikan tol Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) sejak bulan lalu.

Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura sebelum ini mengumumkan kenaikan tol di pihaknya pula, sebagai ‘jawapan’ kepada kenaikan tol yang dilaksanakan Malaysia bermula 1 Ogos lalu.

“Tindakan saling menaikkan kadar tol antara kedua-dua seakan-akan membina tembok di antara Selat Tebrau memisahkan dua jiran,” ulas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

“Dengan keadaan kedua-dua pihak menaikkan kadar tol sehingga 470 peratus, hampir mustahil bagi rakyat biasa di Malaysia berulang-alik setiap hari melintasi tambak,” ujarnya dalam satu sidang media sesudah program ‘Forum Kedai Kopi’, di sini.

Ahli Parlimen Kluang itu menjangkakan beberapa kesan terhadap ekonomi Johor ekoran perang kenaikan tol antara kedua-dua negara.

Menurutnya, Wilayah Pembangunan Iskandar yang bergantung kepada pelaburan dari Singapura akan menerima kesan paling buruk.

Di samping itu, ekonomi tempatan di daerah Selatan Johor termasuk peniaga kecil, pelancongan dan sektor logistik di Johor Bahru berkemungkinan menerima akibat buruk, dan memberi kesan tidak langsung kepada ekonomi negara.

Pemandu kereta yang meninggalkan Singapura akan dikenakan tol sebanyak S$3.80 (RM9.62) berbanding S$1.20 sebelum ini. Manakala teksi dan bas masing-masing akan perlu membayar S$1.90 dan S$3.10 berbanding S$0.60 dan S$1.00 sebelum ini.

Bagi kenderaan yang memasuki Singapura, LTA mengenakan caj sebanyak S$2.70 untuk kereta, S$4.00 untuk van dan kenderaan ringan, S$5.30 bagi kenderaan berat, S$1.40 bagi teksi dan S$2.20 untuk bas. – Roketkini.com

Tiada ulasan: