MALAYSIAKINI
Penulis politik terkenal Subky Latif mengingatkan, bukan PAS
sahaja yang akan rugi jika parti Islam itu keluar daripada Pakatan
Rakyat.
Sebaliknya, kata kolumnis akhbar web PAS Harakahdaily itu, ia akan turut memberi kesan kepada DAP, PKR serta masa depan karier politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“DAP
boleh masuk kampung sekarang kerana ia dibawa oleh penyokong PAS. Kalau
PAS sudah tidak bersamanya, mungkin ia terpaksa mengambil 50 tahun lagi
untuk jadi parti 'Malaysian Malaysia'.
“Masa itu bukan saja (ketua anggota parlimen DAP) Lim Kit Siang sudah mendiang, (Setiausaha Agung Lim) Guan Eng juga mendiang.
“Buat Brother (saudara) Anwar, apa pula ruginya? Almarhum tanpa jadi perdana menteri,” katanya.
Dalam kolumnya di Harakahdaily hari ini, Subky (kanan)
juga berkata, ketiga-tiga parti dalam Pakatan akan kehilangan banyak
kerusi jika Pakatan berpecah dan bertanding sesama sendiri dalam pilihan
raya raya, selain berdepan BN.
Katanya, DAP mungkin dapat pertahankan banyak kerusi kerana tidak
bergantung kepada undi Melayu, tetapi ia akan hilang penyokong Melayu di
seluruh negara.
'Tak keluar kecuali dikeluarkan'
Memetik bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib (bawah) yang kini menganggotai PAS, Subky berkata, PAS akan rugi besar jika keluar daripada Pakatan.
“...dan
saya yakin beliau pun tahu PAS tidak akan keluar daripada Pakatan
kecuali dikeluarkan, atau DAP dan PKR keluar daripada Pakatan Rakyat,”
kata Subky.
Veteran politik itu menegaskan, daripada mula PAS tidak berganjak
daripada Pakatan, cuma rakan Pakatan tidak membantu PAS untuk “merungkai
perbezaan yang sesungguhnya banyak”.
“PAS tidak dapat beri lebih daripada yang dimampunya,” tambahnya lagi.
Beliau juga menyuarakan kritikan terhadap Langkah Kajang untuk menukar
menteri besar yang dilihatnya “seperti hendak meminggirkan PAS daripada
Pakatan”.
“Yang ikut merasa sedih dengan gara-gara Langkah Kajang sekarang bukan
penyokong Pakatan saja, (bekas timbalan perdana menteri) Tun Musa Hitam
yang ingin melihat demokrasi itu subur juga terkilan dengan cara politik
Selangor ditangani,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan