Rabu, 10 September 2014

Pengkalan Kubor: Wanita PKR bantu calon PAS

ASLANI M


KOTA BHARU: Biar pun Dun Pengkalan Kubor ditandingi PAS, namun wanita PKR tetap turun padang berkempen dalam misi menafikan kekuatan Umno di Dun berkenaan.

Ketuanya, Noraini Husin berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk menggerakkan jentera kempen bagi membantu calon PAS.

“Kami tetap akan terus mara dengan menawarkan tenaga untuk membantu segala gerak kerja yang dirancang demi perpaduan yang telah lama terjalin.

“Satu-satunya musuh utama Pakatan Rakyat ialah Umno dan BN. Jadi tugas utama yang turut dipikul Wanita PKR ialah untuk menewaskan musuh itu,” katanya di sini.

Sehubungan itu kata beliau Wanita PKR Kelantan sebulat suara menyokong keputusan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memberi laluan kepada calon PAS di Pengkalan Kubor.

“Saya mewakili seluruh Wanita PKR Kelantan menegaskan bahawa kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini dan memastikan Pakatan Rakyat berjaya bagi membawa harapan baru kepada negara,” katanya.

Sebelum ini pada pilihan raya umum 2013 dan 2008 kerusi Dun Pengkalan Kubor ditandingi calon PKR.

Pada pilihan raya umum tahun lepas Datuk Noor Zahidi Omar daripada BN mempertahankan kerusi tersebut sejak PRU 2004. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: