Rabu, 10 September 2014

Pengkalan Kubor: SPR sahkan tiga borang dibeli

SALMAH MAT HUSAIN


KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan penggunaan aset milik kerajaan untuk berkempen pada mana-mana pilihan raya tidak boleh sama sekali.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, penggunaan aset kerajaan boleh dikecualikan apabila meminta izin dengan syarat membayar sewa dengan disokong Penasihat Undang-Undang.

“Peraturan itu juga digunapakai pada mana-mana pilihan raya kecil,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi hormat Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub di Kota Darulnaim hari ini.

Ditanya mengenai pilihan raya kecil Pengkalan Kubor, beliau berkata, setakat ini hanya tiga borang pencalonan dibeli seseorang.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mengetahui orang yang membeli borang mewakili parti mana.

Abdul Aziz juga mahu menjadikan PRK Pengkalan Kubor sebagai contoh kempen pilihan raya kecil paling harmoni selepas PRK Balingian, Sarawak.

PRK tersebut diadakan berikutan pengosongan kerusi oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pilihan raya tersebut diadakan pada 25 Mac lalu. BN mengekalkan kerusi Dun Balingian dengan majoriti 6,911 undi apabila calonnya, Yussibnosh Balo mendapat 8,194 undi manakala calon PKR, Abdul Jalil Bujang memperoleh 1,283 undi.

Oleh itu Abdul Aziz berharap mana-mana parti yang bertanding di PRK Pengkalan Kubor hendaklah mengikut garis panduan undang-undang SPR.

“Saya harap tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini pada PRK Pengkalan Kubur dan diharap ia berjalan dengan baik bermula hari penamaan calon sehingga tengah malam hari pengundian.

“Elak berlakunya kejadian provokasi, baling membaling, cacian atau membawa pembesar suara di tempat penamaan calon,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar mengucapkan terima kasih kepada Abdul Aziz kerana mengunjunginya untuk berbincang khususnya berkaitan PRK Pengkalan Kubor. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: