Rabu, 3 September 2014

Pengkalan Kubor: PAS, PKR Kelantan bincang hati ke hati

SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan menentukan parti mana yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Pengkalan Kubor sama ada daripada PAS atau PKR.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan dari hati ke hati antara PAS Kelantan dengan PKR diadakan secara tertutup malam tadi.

Katanya, keputusan diambil bagi mengangkat nama calon yang bakal bertanding ke Majlis Presiden.

“Kita akan menyerah keputusan calon yang bakal bertanding di Pengkalan Kubor kepada Majlis Presiden,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah pembinaan asrama Kolej Islam Antrabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri, hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar yang juga pengerusi jawatankuasa rundingan calon Pengkalan Kubor bagi pihak PAS berkata, perbincangan diadakan dalam suasana harmoni.

Ketika ditanya kemungkinan kemenangan tipis sekiranya PKR bertanding, beliau berkata, ia belum dapat dipastikan lagi kerana masih terlalu awal.

Bagaimanapun Mohd Amar menjelaskan setiap keputusan yang diambil Majlis Presiden akan diterima baik PAS Kelantan. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: