SPRM SPRM
 
 
 
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 22 individu, termasuk termasuk seorang Pengarah Jabatan Kastam negeri yang disyaki terbabit aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.
  
Daripada jumlah itu, 12 pengawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
  
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, 12 daripada mereka merupakan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 10 lagi individu merupakan pemilik syarikat dan ejen-ejen mereka serta pemandu lori yang membawa barang-barang yang diseludup dalam satu operasi khas secara besar-besaran di Lembah Klang.
  
"Sindiket itu melibatkan transaksi rasuah kerana melindungi sindiket aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang.
  
"SPRM percaya tangkapan ini telah berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak, yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
  
Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran di Lembah Klang, hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.
  
Mohd Shukri berkata operasi itu turut merampas wang tunai daripada individu terbabit dan barang yang diseludup dari gudang pelabuhan yang melibatkan nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini mencecah ratusan juta ringgit.
  
Beliau berkata, barang-barang yang tidak dibayar duti kastam terbabit terdiri daripada rokok dan arak.
  
"Ia diseludup keluar untuk pasaran dalam negara. Malah sebahagian barang terbabit turut dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram," katanya.
  
Operasi yang dijalankan bermula semalam dilaksanakan secara bersepadu diketuai oleh SPRM bersama pasukan petugas khas.
  
Turut menyertai operasi khas ini ialah Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity. - Bernama