Jumaat, 12 September 2014

Penduduk tidak kenal calon BN

ASLANI M Foto MIJIE YUSOF 


TUMPAT: Calon BN, Mat Razi Mat Ail pada peringkat awal tidak ada dalam senarai utama. Malah ia tidak mencerminkan kehendak awal Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu calon muda ditampilkan.

Kemunculan bekas penolong pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat itu mengenepikan pemimpin yang sudah lama menabur bakti dalam Umno.

Sedangkan senarai yang diketengahkan dalam kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendapat 35 peratus sokongan daripada 507 responden.

Turut disenaraikan Timbalan Ketua Umno Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz (29 peratus), Razidi Mohmad (16 peratus), Wan Johani Wan Hussin (9 peratus) dan Wan Hanafi Wan Yaacob (9 peratus).

Nama Mat Razi langsung tidak tersenarai dalam jangkaan ramai. Berbeza calon Pakatan Rakyat, Setiausaha PAS Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim yang mendapat sokongan 28 peratus hasil kajian UMcedel.

Seorang penduduk di Kampung Geting, Abdullah Sabri (gambar) mengakui penduduk kurang mengenali Mat Razi biar pun beliau merupakan anak tempatan.

“Penduduk kampung tidak mengenalinya kecuali mereka yang sering berurusan di Pejabat Pelajaran Daerah. Sedangkan Wan Rosdi orang ramai sudah lama kenal hati budinya.

“Ini memberi kesan yang besar. Jauh berbeza di antara kedua-dua perwatakan itu. Biasanya penduduk kampung menilai kemampuan seseorang berpandu kepada jasa dengan hubungan dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini.

Zainab Che Mat, 49 (gambar) dari Kampung Tujuh juga memberitahu tidak pernah mendengar nama Mat Razi biar pun beliau anak tempatan Pengkalan Kubor.

Wan Rosdi diumumkan sebagai calon Pakataan Rakyat malam tadi dalam misi menafikan pengaruh Umno di Dun terbabit sejak 2004.

Sumber yang rapat dengan Umno memberitahu ramai pemimpin di peringkat bahagian Tumpat kelihatan kecewa kerana orang yang sudah lama berkhidmat diketepikan.

Katanya, jentera kempen kalangan pemimpin tempatan agak hambar berbanding jentera Umno dari luar Tumpat. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: