Jumaat, 12 September 2014

Penasihat negeri: MB masih ada kuasa eksekutif

MALAYSIAKINI


 


Tan Sri Khalid Ibrahim yang akan melepaskan jawatannya sebagai menteri besar masih mempunyai kuasa eksekutif dan oleh itu tidak timbul soal berhubung ketidaksahihan perjanjian air yang akan ditandatanganinya, kata penasihat undang-undang negeri.

Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman (bawah) berkata, ekoran perkenan sultan yang mengekalkan Khalid sehingga menteri besar baru dilantik, beliau masih boleh menjalankan kuasa penuh melaksanakan tugas, fungsi dan tanggungjawabnya.

“Sehubungan itu, soal ketidaksahihan apa-apa tindakan atau keputusan yang dibuat oleh menteri besar Selangor berkaitan dengan apa-apa perkara termasuk kapasiti untuk menandatangani perjanjian air bagi pihak kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan Persekutuan adalah tidak berbangkit memandangkan tindakan-tindakan ini masih dalam lingkungan bidang kuasa eksekutif menteri besar dan mengikut lunas-lunas perundangan negeri,” katanya.

Kenyataan Nik Suhaimi itu diedarkan kepada media oleh pejabat menteri besar Selangor hari ini.

Anggota parlimen Klang Charles Santiago kelmarin berkata, Khalid tidak patut menandatangani perjanjian industri air antara Selangor-Pusat kerana beliau kini seorang menteri besar sementara.

Sementara itu, Nik Suhaimi berkata, keputusan sultan menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Khalid wajar dijunjung demi memastikan pentadbiran negeri lancar dan teratur.

“Selain diakui mengenai prinsip demokrasi yang memberi kebebasan bersuara namun adab, tatatertib dan hak DYMM Sultan Selangor bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 perlu dihormati demi kesejahteraan negeri dan tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Khalid: Hati-hati keluar kenyataan

Sementara itu, pejabat menteri besar pula berkata, Khalid menasihatkan ahli politik supaya lebih berhati-hati dan membuat kajian ilmiah sebelum mengeluarkan kenyataan masing-masing.

Ini, menurut kenyataan itu, bagi mengelakkan kekeliruan dan pandangan serong masyarakat terhadap pihak lain dan kepada mereka sendiri.

Tiada ulasan: