Selasa, 16 September 2014

Pemuda PAS mahu PP, S'gor giat bela Melayu...

MALAYSIAKINI


 


Pemuda PAS mahu kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan contoh terbaik untuk terus membela dan memartabatkan Melayu, bumiputera dan kaum lain yang terpinggir di bawah dasar afirmatif yang dilaksanakan dalam dua kerajaan Pakatan itu.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata perkara itu antara aspek "yang masih kurang menonjol" dan usaha mapan perlu digiatkan khususnya bawah portfolio pembangunan luar bandar dan portfolio belia dan sukan.

"Pemuda PAS berpandangan bahawa dasar afirmatif tetap relevan untuk membantu Melayu, Bumiputera dan bangsa lain yang hidup melarat.

"Kami menyeru supaya Kerajaan Pakatan Rakyat meneruskan perlaksanaan dasar afirmatif secara mapan dan berkesan yang benar-benar mampu membela nasib Melayu dan bangsa lain yang terpinggir daripada limpahan kekayaan ekonomi.

"Kita tidak mahu ada di kalangan warganegara yang tercicir daripada menikmati limpahan kekayaan negara. Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, secara sendiri terkuburlah khurafat yang mengatakan bahawa orang Melayu hanya bermartabat sekiranya berada di bawah Umno," katanya.

Beliau berkata demikian dalam usaha untuk menggerakkan agenda bersepadu untuk menguasai sokongan pengundi muda Melayu ketika menyampaikan ucapan dasarnya bertajuk "Memperkukuh Muafakat" dalam Muktamar Pemuda PAS di Dewan Chon Moi, di Kota Tinggi Johor petang ini.

Tiada ulasan: