Selasa, 16 September 2014

Pelbagai kaum dan agama sambut Hari Malaysia bersama PAS

JOFRI JARAIEE 


 


MIRI: Acara kemuncak Hari Malaysia peringkat nasional di Miri mendapat sambutan di luar dugaan kerana pelbagai bangsa dan agama telah menghadiri makan malam di Eastwood Valley pada malam 15hb September 2014.

Antara pemimpin PAS Pusat yang hadir pada malam tersebut adalah MP Pokok Sena dan Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar, Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib yang juga mantan menteri besar Selangor dan juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat, MP Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Ketua Muslimat PAS pusat, Pesuruhjaya PAS Sarawak Tuan Haji Adam Ahid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak Mr Yeo Kian Leong dan John Barah pengerusi DHPP Miri serta pemimpin tempatan. (Gambar kanan)

Antara kandungan ucapan yang disampaikan oleh penceramah pada malam tersebut ialah kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh rakyat Sarawak sendiri sepatutnya jangan menyalahkan pihak lain yang menyebabkan rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan kerana kekayaan hasil bumi Sarawak sepatutnya dinikmati oleh semua lapisan rakyat bukan hanya dinikmati oleh pemimpin BN serta kroni mereka saja.

Begitu juga dengan masalah ampangan Baram yang akan menyusahkan kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan Baram. Menurut John Barah, penduduk kampung memerlukan tempat tinggal yang selamat dan sepatutnya pihak kerajaan membina lebih banyak infrastuktur dan kemudahan asas kepada rakyat.

Mr Yeo pula berkata yang masyarakat berbagai kaum di Sarawak boleh menerima PAS sebab PAS bukan parti ektremis tapi yang peliknya mengapa terdapat umat Muslim yang masih takut dengan PAS. Kebanyakan umat Muslim yang takut dengan PAS sebab ada diantara mereka masih lagi suka berjudi katanya.

Semua agama melarang penganutnya supaya tidak berjudi dan minum minuman yang memabukkan. Katanya lagi isu Hudud adalah mainan pemimpin politik yang cuba untuk menakutkan rakyat kepada PAS sedangkan rakyat biasa di Sarawak tiada masalah dengan Hudud sebab katanya lagi perundangan syariah memang sudah ada cuma Hudud adalah sebagai tambahan dalam perundangan jenayah syariah.

Antara lain ucapan pemimpin PAS pusat ialah menyeru agar rakyat Sarawak perlu berani berubah kalau mahu terus maju atau setanding dengan negara lain kerana kalau mereka masih takut untuk berubah, mereka akan terus ketinggalan dari segi infrastrukur dan sebagainya. Mereka juga rasa kesal kerana masih ada lagi rakyat Sarawak yang hidup dalam kemiskinan dan tiada kemudahan asas seperti air bersih yang sepatutnya dapat dinikmati oleh penduduk terutama yang tinggal di luar bandar.

Walaupun tanah Sarawak luas tetapi masih ramai lagi penduduk Sarawak yang masih tidak ada hak milik tanah kekal seperti mana penduduk di Semenanjung.

Pada malam tersebut juga ada pelancaran Tabung Kebajikan UntukMu Sarawak dimana tabung tersebut khas untuk membantu penduduk Sarawak yang memerlukan bantuan.

Kehadiran penduduk berbagai kaum dan agama dalam majlis Hari Malaysia bersama PAS menujukkan bahawa PAS terus mendapat tempat dihati rakyat setelah mereka kenal PAS dengan lebih dekat lagi.

Menurut Tan Sri Muhamad Haji Mohd Taib beliau merasa kagum kerana melihat berbagai kaum dan agama hadir pada makan malam Hari Malaysia anjuran PAS di Miri. Dia tidak menjangka kehadiran berbagai kaum dan agama seperti ini lebih-lebih lagi di tempat yang terdapat ramai majoriti non Muslim.

Semoga PAS akan terus mendapat tempat dihati rakyat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: