Selasa, 2 September 2014

Peguam PAS sedia pertahan Unit Amal

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Pasukan peguam PAS bersedia untuk membela anggota Jabatan Amal jika kerajaan bertindak mengheret jabatan itu ke mahkamah.

Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Piusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ingin bertindak ke atas Unit Amal PAS adalah tidak berasas.

"Kenyataan Zahid ini umpama terlebih sudu dari kuah kerana membuat keputusan menghukum sebelum keputusan mahkamah.

"Tangkap atau dakwa ke semua Ahli Jabatan Amal di seluruh negara biarlah mahkamah menentukan sama ada bersalah atau tidak di sisi undang-undang. Zahid jangan menjadi penentu untuk memutuskan bersalah atau tidak," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau turut mengingatkan Zahid bahawa negara ini mempunyai sistem perundangan.

"Negara ini adalah hak rakyat Malaysia secara bersama, bukan milik Barisan Nasional (BN) atau mana-mana Menterinya sehingga boleh membuat kenyataan yang 'seolah-olah' memperlihatkan kurang cerdiknya tahap pemikiran Menteri di 1Malaysia.

"Kita tekankan di sini sebarang tindakan diambil, seluruh peguam PAS bersedia untuk ke balai dan mahkamah bagi membela ahli yang ditahan atau ditangkap," katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: