Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 
 
KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk pasukan Unit Amal Pas berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), demikian kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Jelasnya, adalah kerana pasukan itu ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda Pas Pusat melalui perlembagaanya mengikut fasa 54 (9)(d).

"Dalam perundangan, Unit Amal tidak perlu berdaftar dengan ROS kerana ia dibentuk di bawah Dewan Pemuda Pas.

"Mengikut fasa 54 (9)(d), Dewan Pemuda Pas boleh membentuk lajnah yang difikirkan perlu dan pelantikan ahli pula dibuat dengan persetujuan dalam mesyuarat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mengatakan Unit Amal Pas bakal berdepan tindakan undang-undang kerana unit itu tidak berdaftar secara sah dengan ROS.

Isu itu timbul selepas polis menahan kira-kira 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang selepas menghadiri perarakan hari merdeka di Esplanade, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lalu berkata PPS tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan oleh itu dianggap pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Mengulas lanjut, Salahuddin menambah, pasukan Unit Amal yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Pas itu bagaimanapun perlu menghantar laporan tahunan kepada ROS mengenai aktiviti mereka.

"Setiap tahun aktiviti Unit Amal akan dimasukkan dalam laporan tahunan dan dibentangkan ke dalam Muktamar Pemuda Pas.

"Kemudian setiap tahun, Pemuda Pas akan menghantar laporan tahunannya itu kepada ROS," ujarnya.

Menurut Salahuddin, pasukan Unit Amal Pas telah ditubuhkan pada 1991 di bawah Pemuda Pas Pusat, yang ketika itu beliau di antara individu yang bertanggungjawab menubuhkannya.

"Lebih 23 tahun Unit Amal ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan bukan kerja kebajikan dalam parti tetapi terbukti ia berikan sumbangan kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa dalam kerja kebajikan.

"Unit amal juga terlibat membantu dalam bencana alam seperti banjir, kemalangan, kerja sosial termasuk gempa bumi di Pakistan, bantuan kemanusiaan di Palestin dan Aceh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dapat bersemuka dengan Ahmad Zahid bagi memberikan penjelasan lanjut tentang Unit Amal untuk mengelakkan daripada salah faham.

Pas juga katanya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada kerajaan sekiranya Unit Amal terus dianggap unit tidak berdaftar dan dilayan seperti kumpulan samseng.

"Pas akan beri khidmat guaman semaksima mungkin, kita tidak teragak-agak saman kerajaan sebab kita tidak buat jenayah dan lakukan apa-apa yang boleh ditangkap oleh pihak polis," katanya lagi.

Sehingga kini Pas mempunyai seramai lebih 6,000 anggota pasukan Unit Amal di seluruh negara.