Iskandar Abdul Samad Iskandar Abdul Samad
 
 
 
SHAH ALAM - Pas Selangor telah menghantar nama-nama calon dari kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, nama-nama wakil rakyat itu dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipersetujui sebelum dipersembahkan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Di peringkat Selangor kita telah serah beberapa nama kepada pusat dan terpulang kepada Pas Pusat nama-nama yang mereka nak berikan kepada Sultan.

"Kita sendiri tidak dimaklumkan siapa calon yang dipilih (oleh Pas Pusat) dan kita terima siapa sahaja yang dicalonkan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Sultan Selangor menangguhkan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga menteri besar baharu dilantik.

Baginda menitahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (Pas, PKR, DAP) supaya masing-masing mengemukakan lebih daripada dua nama calon untuk dipertimbangkan bagi jawatan itu, selewat-lewatnya esok (3 September).

Baru-baru ini Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dipetik sebagai berkata Pas tetap mengemukakan dua calon iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan timbalan presiden parti itu Azmin Ali.

Dalam satu laporan portal berita, beliau berkata Pas akan berpegang dengan keputusan Jawatankuasa Pas Pusat pada 17 Ogos lalu yang mahu Azmin dicalonkan sebagai calon kedua untuk dilantik ke jawatan itu. - Bernama