Rabu, 10 September 2014

PAS Kelantan harap PKR beri sokongan penuh

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: PAS Kelantan mengharapkan sokongan penuh daripada PKR untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang akan ditandingi parti Islam itu nanti.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, sokongan itu penting bagi membolehkan Pakatan Rakyat mengambil kembali kerusi yang dimenangi Umno itu.

“Terima kasih kepada mereka (PKR), kerana beri laluan (kepada PAS).

"Kita juga berharap akan mendapat sokongan penuhlah dari PKR untuk kemenangan PR di sana,” katanya dipetik Sinar Harian.

PKR hari ini memutuskan memberi laluan kepada PAS bertanding di kerusi Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil (PRK) Dun itu hujung bulan ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat demi kesepakatan menentang Umno BN.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu calon PKR Saharun Ibrahim tewas kepada calon BN Datuk Noor Zahidi Omar dengan majoriti 1,736 undi.

Noor Zahidi bagaimanapun meninggal dunia 20 Ogos lalu akibat kanser hati.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 13 September manakala pengundian pada 25 September. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: