Rabu, 10 September 2014

PAS calon Pengkalan Kubor, Pakatan bersatu tentang Umno BN

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : KEADILAN memberi laluan kepada calon PAS bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor 25 September ini dengan matlamat menumpaskan Umno Barisan Nasional (BN).

IMG_6770Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu mengambil kira kepentingan bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar sesama komponen Pakatan Rakyat.

“Saya ingin menyusul kenyataan saya semalam yang merujuk kepada pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang di mana saya telah menekankan kepentingan kerjasama dan muafakat berterusan Pakatan Rakyat.

PAKATAN-RAKYAT

“Saya percaya kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar Pakatan Rakyat terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan Umno BN,” kata Wan Azizah dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, rakyat kini berhadapan kenaikan harga minyak yang beliau jangka akan diumum sebelum Belanjawan 2015, pengenalan GST menjelang April 2015, tangkapan dan pelbagai tindakan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan selain adu domba perkauman dan keagamaan yang berterusan.

Untuk itu katanya, bagi berhadapan Umno BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam Pakatan perlu dipertahan agar dapat bersatu menentang Umno BN.

“Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar.

“Saya doakan Allah SWT memberi kemenangan kepada calon Pakatan Rakyat kelak,” kata Wan Azizah lagi.

Penamaan calon PRK itu akan diadakan Sabtu ini, 13 September.

Kerusi Pengkalan Kubor sebelum ini ditandingi KEADILAN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, calon KEADILAN, Saharun Ibrahim tewas kepada calon BN, Datuk Noor Zahidi Omar dengan majoriti 1,736 undi.

Noor Zahidi bagaimanapun meninggal dunia 20 Ogos lalu akibat kanser hati.

1 ulasan:

Shah berkata...

Mcm nie la bgs...bru la btl..tahniah datin wan azizah..