Selasa, 2 September 2014

Papisma Malaysia terus menyumbang kepada Gaza

HARAKAHDAILY



 


KUALA LUMPUR: Pembinaan semula Gaza setelah diranapkan oleh Zionis Israel sepanjang 50 hari perang The Brainstorming Eaten lalu memerlukan komitmen padu dari seluruh umat Islam.

Perang selama 50 hari yang berakhir pada 26 Ogos lepas telah menyebabkan seramai 2,145 orang gugur syahid dan lebih dari 5,000 orang cedera.

Peperangan ini telah meranapkan 17,200 buah rumah, memusnahkan 37,650 buah rumah akibat serangan bom dari Israel.

Pejabat Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan seramai 520,000 orang pelarian Gaza yang menginap di serata tempat.

Ini melibatkan 485,000 orang memerlukan bantuan segera dalam bentuk pakaian, makanan dan keperluan harian.

Sebagai langkah pemula, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), sebuah NGO yang senantiasa ke depan membantu Gaza, selamat sampai ke bumi Turki bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Gaza.

Wakil Papisma Malaysia yang diketuai oleh Dr Azaharim Omar dan Dr Haniif Ahmad Mazian sedang menghadiri Sidang Kemuncak Antarabangsa bagi Membantu Gaza, di Istanbul Turki.

Dalam persidangan tersebut, Dr Azaharim telah menyampaikan sumbangan sejumlah RM50,000 hasil sumbangan ahli Papisma.

Beliau juga berjanji akan meneruskan komitmen bagi membantu Gaza dalam masa yang terdekat.

Sebelum dari itu, Presiden Papisma, Dr Awisul Islah Ghazali telah menyerahkan cek bernilai RM50,000 kepada Yayasan Amal Malaysia bagi menyiapkan projek Drop of Life.

Projek ini adalah menyediakan tong air bersih kepada mangsa perang Gaza yang dianggarkan melebihi 450,000 orang. (Foto atas)

Tiga NGO telah bersetuju untuk membiayai projek Drop of Life ini, iaitu Papisma, Amal Malaysia dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia (FGWL). - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: