Selasa, 2 September 2014

PAFA Nafi Penyokong Perak Terlibat Merusuh

RAKYATNEWS


alt
 


KUALA LUMPUR  - Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan penyokong Perak terlibat dalam rusuhan pada perlawanan Piala Malaysia antara Sarawak dan Perak, di Stadium Negeri, Kuching Sabtu lepas.  

Pengurusnya, Datuk Azhar Ahmad berkata, ia merupakan tuduhan yang tidak berasas memandangkan sebelum ini Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengeluarkan kenyataan mengatakan pihak mereka tidak menjual sebarang tiket kepada penyokong Perak.

"Kita sudah tahu sebelum ini, FAS dalam kenyataan yang dikeluarkan di dalam Borneo Post berkata kedatangan pasukan Perak adalah tanggungjawab mereka (FAS).

"Tiada satu tiket pun dijual kepada penyokong Perak berikutan bimbang terhadap keselamatan mereka (penyokong Perak)," katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah stesen televisyen swasta yang mendakwa penyokong Perak turut serta dalam kekecohan itu.

Azhar berkata, pada hari insiden itu, walaupun keadaan di dalam stadium dapat dikawal dengan baik oleh anggota polis namun provokasi tetap juga berlaku.

"Kami terpaksa berkurung di dalam bilik persalinan selama tiga jam dari 11 malam kerana keadaan ketika itu sangat membimbangkan," katanya.

Azhar berkata, Setiausaha Kehormat Pafa diminta menghantar laporan yang tepat mengenai insiden itu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

"Kami hanya menerangkan apa yang berlaku sahaja, terpulang kepada pihak FAM untuk menentukan apa-apa yang perlu diperbetulkan," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung video pergaduhan yang tersebar di laman sosial Facebook pada perlawanan Perak menentang Sarawak di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 22 Ogos lepas, beliau berkata video tersebut tidak jelas dan tiada bukti menunjukkan penyokong Perak terlibat.

"Jika kes ini benar-benar berlaku, mengapa tiada sesiapa yang tampil membuat laporan polis," katanya.

Insiden itu tercetus selepas perlawanan berkesudahan seri 1-1, mengakibatkan skuad Ngap Sayot tersingkir dalam kempen Piala Malaysia, menyaksikan penyokong bertindak agresif dengan masuk ke dalam kawasan padang sebelum memusnahkan papan iklan di situ.

Lebih memburukkan keadaan, di luar stadium, sekumpulan penyokong fanatik itu bertindak membaling sekurang-kurangnya empat suar ke arah deretan kenderaan polis, termasuk melempar mercun. Foto - TMI

Tiada ulasan: